Tuesday, October 22, 2024
31.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bangkit daripada kekalahan untuk menentang Shakhtar – Arteta

    LONDON, 22 OKT – Mikel Arteta menggesa Arsenal untuk guna ‘keperitan’ mereka apabila kalah kali pertama dalam tempoh enam bulan sebagai motivasi dalam pertembungan Liga Juara-Juara menentang Shakhtar Donetsk esok.

    The Gunners mengalami kekalahan mengejut 2-0 di tangan Bournemouth pada hari Sabtu selepas pemain pertahanan William Saliba dibuang padang pada separuh masa pertama.

    Ia bermakna mereka kehilangan tempat di puncak Liga Perdana dan menamatkan hujung minggu empat mata di belakang pendahulu, Liverpool.

    Tetapi Arteta, semasa sidang akhbar pra-perlawanan kelmarin, berkata tidak perlu panik selepas kekalahan pertama sejak April.

    “Awda mengalami kekalahan, itu sebahagian daripada permainan, ia berlaku dalam keadaan yang sangat spesifik juga,” katanya.

    “Mari kita teruskan, gunakan ‘perit kekalahan’ yang masih ada dan gunakan untuk malam esok.”

    Jurulatih dari Sepanyol itu menambah: “Ia meletakkan sedikit perspektif ke dalam situasi. Jelas sekali kami mahu menang dalam apa jua konteks. Realitinya ialah kami telah menjadikan konteks itu sangat sukar untuk diri kami sendiri.

    “Ia telah pun sukar dengan jumlah pemain yang kami ada dan jadual serta perlawanan yang kami perlu hadapi tetapi itulah realitinya.

    Arteta turut persoalkan isu kad merah, selepas Saliba menjadi pemain ketiga Gunners yang dibuang padang dalam lapan perlawanan Liga Perdana musim ini, berikutan Declan Rice dan Leandro Trossard.

    “Bermain dengan 10 lelaki, jelas itu satu isu. Sebenarnya apabila awda menganalisis tiga tindakan yang sangat berbeza dan hasil daripadanya, sebabnya sangat berbeza. Walau apa pun, kami tidak boleh terus bermain dengan 10 pemain, terutama di peringkat ini,” katanya.

    Arteta berkata kecergasan Bukayo Saka juga akan dinilai selepas pemain sayap England itu terlepas perlawanan Bournemouth.

    Arsenal sedang mencari kemenangan kedua dalam Liga Juara-Juara peringkat kumpulan menentang Shakhtar selepas seri 0-0 menentang Atalanta dan menewaskan Paris Saint-Germain 2-0. – AFP

    Mikel Arteta (kiri) semasa sesi latihan di pusat Latihan Arsenal di Shenley, utara London pada kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda