Monday, March 24, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bangkit isu, soalan baharu

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MAC – Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) diseru untuk memberikan sentuhan yang berbeza dari tahun-tahun yang lalu dalam memberikan buah-buah fikiran masing-masing dan tidak lagi terhad dengan membangkitkan isu-isu atau soalan-soalan yang sama serta yang telah dibangkitkan di tahun-tahun yang sudah.

    Seruan itu dibuat oleh Yang Dipertua MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib semasa hari kedua Persidangan MMN yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, hari ini.

    Beliau menyatakan lagi bahawa titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada Majlis Istiadat Pembukaan Rasmi, Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-16 bagi MMN Brunei Darussalam, adalah amat mendalam dan mempunyai pandangan jauh serta jelas mencerminkan keprihatinan Baginda terhadap kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara ini secara berpanjangan.

    “Baginda ingin melihat persada persidangan majlis mesyuarat ini terutamanya supaya lebih perkasa dan mantap dalam mengetengahkan hal-hal isu-isu negara,” ulas Yang Berhormat Pehin lagi.

    Beliau menyatakan lagi bahawa Baginda Sultan menekankan supaya kita bijak dan berhemah dalam membelanjakan kewangan negara serta memfokuskan perbelanjaan yang lebih efisien kepada perkara-perkara yang akan meningkatkan ekonomi dan produktiviti negara, demi memelihara kebajikan dan kesejahteraan hidup rakyat dan penduduk di negara ini.

    “Dengan menerapkan pendekatan Whole of Nation, supaya semua usaha dan inisiatif, tidak akan menjadi sia-sia dan akan membuahkan hasil seperti mana jua yang kita sama-sama hasratkan.”

    Dalam masa yang sama, jelasnya lagi, kita hendaklah bersyukur atas limpah rahmat kurnia Allah SWT kerana kita mempunyai pemimpin raja yang amat memeduli kepentingan dan kesejahteraan rakyat keseluruhannya dengan menekankan amalan berdoa sebagai budaya bangsa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda