DALLAS – Deb Eberhart seringkali mengalami kesukaran untuk melelapkan mata dan mudah terasa sebak sewaktu menyelaraskan kerja-kerja pembaikan rumahnya di Houston yang mengalami kerosakan utama berikutan daripada kesan banjir berlaku beberapa bulan lalu setelah kawasan tersebut dilanda oleh Taufan Harvey.
Ada kalanya dia memendam rasa dengan mengetip bahagian rahangnya pada kadar yang terlalu kuat sehingga mencederakan dirinya sendiri sekaligus menyukarkan dirinya untuk mengunyah makanan.
“Saya memang sukar untuk melupakan mengenai apa yang telah berlaku dalam kehidupan saya,” jelas guru bersara yang berusia 69 tahun itu.
Eberhart menyedari bahawa dirinya memang memerlukan bantuan yang bukan berkaitan daripada aspek binaan bangunan ataupun skim insuran.
Dari situ, dia bersama dengan mangsa yang terselamat dari bencana alam itu telah mendapatkan bantuan daripada ahli terapi untuk meleraikan memori pahit yang berlaku pada Ogos lalu di mana telah mengorbankan 80 nyawa dan menyebabkan kerosakan yang dianggarkan bernilai AS$150 bilion di Texas.
Pakar terapi menjelaskan bahawa gangguan emosi berikutan daripada kejadian sesebuah tragedi boleh terjadi dalam pelbagai cara seperti kesedihan berpanjangan, kegelisahan, kemurungan malah trauma terhadap sesuatu bencana tersebut dan proses pemulihannya ada kalanya memakan masa selama setahun atau lebih.
Walaupun beberapa bulan setelah badai taufan itu berlalu, namun masih ramai yang datang untuk berjumpa ahli terapi bagi mendapatkan sesi kaunseling secara percuma di mana ia adalah program yang telah dibiayai oleh pihak kerajaan dan swasta.
Pakar psikologi, Andrew Reichert menjelaskan bahawa dia mula menyedari akan perubahan dalam tingkah laku pada penduduk di bandar kecil Port Aransas, setelah sebulan taufan Harvey memusnahkan kebanyakan kawasan di bandar tersebut.
“Ia kelihatan berbeza daripada tekanan biasa atau sesuatu kejutan bahkan ia adalah jenis tekanan pada tahap kronik yang boleh membelenggu seseorang individu. Rata-rata saya sering memberikan nasihat kepada individu yang terlibat untuk sentiasa cuba mengawal diri dan elakkan diri daripada terlalu dipengaruhi oleh emosi,” jelas Reichert.
Ketika bencana tersebut berlaku, Eberhart sedang perjalanan menuju ke Austin dan hanya menganggap rumahnya yang terletak di Houston akan sentiasa berada dalam keadaan baik. Bagaimanapun dia telah dikejutkan dengan satu kiriman gambar yang dikirimkan oleh jirannya di mana memperlihatkan kawasan kampungnya telah berada dalam keadaan banjir dan banyak rumah yang musnah serta kawasan tersebut digenangi oleh air.
Setentunya Eberhart berasa terkejut tatkala pulang dan mendapati bahawa kawasan perkampungannya diliputi dengan lumpur dan banjir tersebut juga turut memusnahkan rumahnya.
Selepas peristiwa itu, dia tinggal bersama dengan anak lelakinya dan teman anaknya selama tiga minggu di Houston dan kembali pindah sebuah apartmen berdekatan dengan tapak bekas rumahnya yang musnah akibat bencana tersebut.
Dari situ, tekanan semakin memuncak tatkala mengenangkan kos barangan yang rosak di mana ia bukan sahaja mengalami kerugian dari sudut kewangan bahkan ada di antaranya merupakan barangan warisan daripada ibunya serta gambar kenangan yang jelas memiliki nilai sentimental yang tersendiri dan tidak mungkin dapat untuk diganti.
“Lama kelamaan saya mula berfikir bahawa saya harus menerima hakikat terhadap apa yang berlaku dan sudah tibanya saya untuk menerima nasihat daripada ahli terapi bagi mengatasi masalah yang dihadapi,” jelas Eberhart.
Eberhart mula mengikuti sesi kaunseling bersama Judith Andrews yang merupakan seorang ahli psikologi yang juga bertugas selaku pengerusi bersama di Pusat Psikologi Texas pada November lalu.
Wanita itu juga turut menjelaskan bahawa menerusi sesi kaunseling yang dihadirinya secara tidak langsung membuka mindanya dan menenangkan fikirannya dengan melakukan pelbagai aktiviti yang gemar dilakukannya seperti bersenam sebagai usaha untuk melupakan memori hitam tersebut.
Persatuan yang disertai oleh Andrews itu mengelolakan sesi kaunseling secara percuma bagi membantu mangsa-mangsa terselamat untuk terus membangkitkan semangat setelah mengalami sesebuah musibah.
“Ramai di antara mangsa yang terselamat dari bencana alam yang mengalami masalah kemurungan dan kegelisahan,” jelas Andrews.
Setentunya mangsa-mangsa yang terselamat ini akan menghadapi pelbagai peringkat tekanan dan kejutan di mana pada kebiasaannya ia hanya akan pulih dalam tempoh enam bulan dengan bantuan sokongan dan perpaduan yang diberikan secara berterusan.
Amarah, mengasingkan diri dan terasa diri diabaikan merupakan antara aspek yang wajar dielakkan kerana elemen-elemen tersebut secara tidak langsung akan melambatkan lagi masalah pemulihan di mana ia akan hanya meningkatkan tekanan kepada para mangsa.
“Salah satu cabaran yang sering dihadapi dalam sesi kaunseling ini adalah apabila ada individu yang lebih suka memendamkan sesuatu perkara itu dengan sendiri dan enggan untuk berbicara dengan yang lain bagi sama-sama membantu dalam mengatasi masalah yang dihadapi,” jelas Andrews.
Megan Davis bersama dua anak perempuannya dan ibunya yang terselamat dari bencana alam itu dengan menaiki bot juga turut menghadiri sesi kaunseling bersama dengan Andrews bagi membantu perkembangan minda anak-anaknya berada dalam keadaan positif.
“Saya sangat gembira untuk melihat perkembangan anak-anak saya yang sudah berupaya untuk mengadapatasi dengan gaya kehidupan baru,” jelas Davis, 34 yang juga merupakan seorang peguam.
“Secara purata, lebih ramai yang mengambil perhatian terhadap kesan bencana tersebut dari segi kehilangan terutama dari sudut kewangan namun hakikatnya adalah lebih juga untuk mengambil perhatian pada aspek kesihatan mental terutama pada kanak-kanak yang semakin membesar,” jelas Jeff Temple, seorang ahli psikologi di Universiti Perubatan Texas di Galveston.
Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan dan Manusia Texas juga telah bekerjasama dengan pusat penjagaan kesihatan mental dalam usaha untuk menawarkan sesi kaunseling kepada mangsa-mangsa yang terselamat dari bencana alam di Texas. – AP