Saturday, May 10, 2025
31 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bangkok: Amaran kemungkinan banjir besar

    BANGKOK, 29 SEPT – Bangkok dan kawasan lain di tengah Thailand telah menerima amaran baharu kemungkinan banjir besar, meskipun pihak berkuasa bantuan bencana berkata hari ini ancaman itu telah berkurang di 13 daripada 30 buah wilayah yang telah dibadai hujan musim monsun bermusim.

    Jabatan Pencegahan Bencana dan Mitigasi berkata tujuh orang telah terkorban manakala dua lagi hilang pada hujung minggu lalu akibat banjir yang dicetuskan oleh Ribut Tropika Dianmu.

    Hari ini, ia mengumumkan sebanyak 197,795 buah rumah di 30 buah wilayah, kebanyakan di utara, timur laut dan tengah rantau telah terjejas, 56 peratus peningkatan lebih 126,781 dilaporkan sehari sebelum.

    Bangkok belum pernah mengalami banjir besar, namun banyak kawasan luar bandar telah terjejas teruk.

    Televisyen Thai menunjukkan penduduk di beberapa kawasan meredah banjir separas dada atau dipindahkan dari rumah mereka menggunakan bot kecil. Bagaimanapun keadaan itu telah bertambah baik di 13 buah wilayah sekitar negara itu termasuk Chiang Mai, kata agensi pencegahan bencana. – AP

    Seorang penduduk menebarkan jaringnya untuk menangkap ikan di kampungnya yang dibanjiri di Lopburi, Thailand pada 28 September. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda