BANGKOK, 29 DIS – Menjelang Tahun 2024, Bangkok mengalami fenomena biasa – penduduk memulakan perjalanan balik ke kampung halaman masing-masing.
Cuti Tahun Baharu empat hari yang bermula hari ini, menyaksikan sejumlah besar kereta dan bas di jalan raya, kesemuanya menuju ke luar kota di seluruh negara.
Jalan di Bangkok yang lazimnya sibuk dengan orang ramai dan kenderaan serta jualan makanan jalanan, kini mula sunyi dan trafik bergerak lebih lancar.
Berikutan perjalanan keluar kota, stesen bas di Bangkok dibanjiri penumpang.
“Saya menantikan saat ini sepanjang tahun. Tidak sabar untuk menyambut Tahun Baharu bersama orang tersayang,” kata Natcha Paimwattathaporn, 33, yang menaiki kereta api di Terminal
Sentral Krung Thep Aphiwat (Stesen Besar Bang Sue) ke kampung halamannya di Chiang Mai.
Menurutnya perjalanan pulang memberi peluang untuknya bertemu ahli keluarga.
“Kami biasanya berkumpul untuk menyantuni orang tua, melawat kuil dan menikmati hidangan lazat,” katanya. – Bernama
