BANGKOK, 3 MEI – Beberapa kawasan awam dan perniagaan di Bangkok, Thailand akan ditutup sementara berkuat kuasa hari ini sehingga akhir bulan ini, di bawah peraturan darurat, untuk mengekang penularan COVID-19.
Perkara itu diumum oleh Gabenor Bangkok, Aswin Kwanmuang dalam satu kenyataan kelmarin, sambil mengingatkan pentingnya menjaga jarak sosial, lapor agensi berita Xinhua.
Mereka yang ingkar boleh dikenakan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum 100,000 baht (kira-kira RM13,300) atau kedua-duanya sekali, menurut kenyataan itu.
Tempat dan perniagaan yang masih ditutup sementara, termasuk pusat hiburan, pub, bar, kelab karaoke, rumah urut dan stadium tinju.
Walaupun pusat beli-belah ditutup sementara di bawah peraturan darurat, pasar raya, restoran dan kedai makanan dibenarkan dibuka semula.
Thailand merupakan salah sebuah negara ASEAN yang kini bergelut untuk menangani penularan wabak COVID-19 yang telah melanda seluruh dunia ketika ini. – Bernama