Oleh Amri HTZ
Menjadikan tanaman mini sebagai hiasan sesebuah ruangan merupakan pilihan kebanyakan penghias memandangkan kehadirannya mampu mengisikan ruangan yang tampak kosong.
Namun tanpa pasu atau penyokong yang sesuai, tanaman yang diletakkan setentunya menjadi ‘pengacau’ berbanding menghias. Untuk itu, bagi memastikan perkara ini tidak berlaku, perlunya mempunyai bangku yang bersesuaian dengan tema hiasan sesebuah ruangan. Selain membelinya di kedai-kedai hiasan, merekanya sendiri sesuai saranan ‘teranah di rumah’ juga boleh mengisikan masa yang terluang.
Persediaan sebelum proses rekaan
Untuk mereka penyokong pasu mini yang begitu unik ini, beberapa barangan perlu disediakan terlebih dahulu seperti kepingan kayu berwarna gelap dan cerah, mesin pemotong kayu meja, mesin gelung atau jig, mesin router, gam kayu, pengepit kayu, wood finish (varnis dan sebagainya), flush trim bit, kompas, pita perekat, pahat kayu, kikir kayu, pita pengukur, pen atau pensel penanda dan kertas pasir.
Cukup mudah untuk dilakukan
Pada langkah pertama pembuatan, kepingan kayu yang disediakan akan ketam terlebih dahulu bagi mendapatkan permukaan yang rata menjadi ½ inci tebal.
Setelah meratakannya, papan tadi kemudiannya akan dipotongkan menjadi bahagian kecil yang akan dijadikan tiang penyokong pasu. Lebar setiap kepingan tiang penyokong yang diperlukan ialah kira-kira 1 inci dan panjang 8 inci.
Manakala bahagian tapak untuk setiap penyokong. Papan berwarna gelap akan digunakan sama seperti langkah permulaan pembuatan, kayu yang digunakan perlulah diratakan terlebih dahulu menggunakan mesin ketam atau secara manual. Papan yang telah diratakan tersebut kemudiannya akan dipotongkan dengan ukuran 5.5” x 5.5” untuk dua kepingan, ukuran 6.5” x 6.5” (dua keping) dan 7.5” x 7.5” (dua keping).
Selesai memotongkan setiap kepingan, tumpukan perhatian untuk kepingan berukuran 5.5” x 5.5” terlebih dahulu. Terdapat tiga kelainan bentuk penyokong pasu akan direka pada projek ini iaitu bentuk empat segi, bulat dan oktagon (lapan sisi). Langkah seterusnya akan menumpukan bentuk yang paling mudah terlebih dahulu memandangkan papan berwarna gelap tadi dipotongkan dengan bentuk empat segi sebelum menjadikannya bentuk lain (sebahagiannya). Kepingan potongan kayu berukuran 5.5” x 5.5” tersebut pada langkah seterusnya hanya akan dibulatkan keseluruhan permukaan sisinya menggunakan mesin router dengan flush trim bit.
Sementara untuk kayu berukuran 6.5” x 6.5” yang telah dipotongkan tadi akan dibentuk mejadi bulat. Dengan menetapkan alat kompas pada ukuran 3.25” (dari bahagian penanda dan jarum), bahagian alat yang mempunyai jarum akan ditempatkan pada bahagian tengah papan sekali gus membolehkan awda melakar bentuk bulat pada permukaan papan. Untuk mendapatkan bahagian tengah papan, awda cuma perlu melakar garisan pada bahagian hujung papan secara bertentangan (kedua-dua sudut). Setelah melakar dua garisan tersebut, bahagian yang bertemu di antara satu dengan lain merupakan bahagian tengah papan.
Sementara untuk papan berukuran 7.5” x 7.5” akan dibentuk menjadi oktagon. Sama seperti langkah sebelum melakar bentuk bulatan, awda terlebih dahulu perlu mendapatkan kedudukan tengah papan tersebut. Setelah mendapatkannya, ukur antara bahagian tengah papan dan salah satu sudut hujung papan.
Ukuran tersebut kemudiannya akan digunakan untuk menetapkan alat kompas bagi menentukan kedudukan keseluruhan titik lapan sudut oktagon. Dengan menempatkan bahagian hujung berjarum pada keempat-empat sudut hujung bentuk empat segi asal (7.5” x 7.5”), awda hanya perlu menandakan bahagian permukaan kayu menggunakan bahagian hujung alat kompas yang mempunyai penanda. Papan yang telah dilakar dengan bentuk bulatan dan oktagon ini kemudiannya akan dipotong menggunakan mesin gelung (bandsaw) atau jig.
Memandangkan teknik cantuman yang akan digunakan adalah mortise dan tenon, permukaan kayu yang telah dibentuk dan kaki penyokong akan dipotongkan menggunakan mesin pemotong kayu. Mula-mula reka tenon pada kedua-dua bahagian hujung kaki kayu dengan ukuran 3/8”. Kedudukan kaki kayu sama ada dengan lebar 1” atau ½” menghadap ke hadapan adalah mengikut keinginan pereka memandangkan teknik sedemikian tidak akan menjejaskan rekaan.
Sementara mortise pada bahagian kayu berbentuk empat segi, bulat dan oktagon perlu disesuaikan dengan tenon yang telah direka pada bahagian kaki penyokong. Selain itu untuk ketinggian penyokong, ketiga-tiga penyokong yang direka mempunyai ketinggian yang berbeza. Ini bagi memberikan keunikan ketika ia ditempatkan bersama. Namun perlu diingat setiap penyokong perlu mempunyai ukuran kayu bahagian kaki yang selaras (tiga batang kaki penyokong perlu mempunyai ukuran yang sama).
Proses mereka mortise pada permukaan kayu berbentuk empat segi, bulat dan oktagon perlu dilakukan dengan berhati-hati. Penggunaan cross-cut sled adalah penting untuk melakukannya dengan selamat. Tanpanya proses mereka mortise adalah mustahil dalam penggunaan mesin memandangkan ia amat bahaya sama ada boleh menyebabkan kick-back atau objek potongan boleh tersangkut dengan bilah pemotong sekali gus menjadikan objek yang dipotong boleh terpelanting.
Jika cross-cut sled tidak diperoleh, melakukannya secara manual menggunakan gergaji dan pahat kayu juga boleh menghasilkan hasil akhir yang sama atau lebih baik berbanding mesin terutama bebas daripada kesalahan (tersalah potong menggunakan mesin).
Setelah kesemua bahagian siap dipotong, langkah seterusnya memerlukan awda untuk menyapukan gam kayu pada permukaan cantuman. Bagi para pereka yang inginkan permukaan rekaan nampak bersih, lindungi permukaan luaran cantuman dengan pita perekat. Fungsinya ketika gam disapukan dan kayu dicantumkan, lebihan gam yang disapukan akan meleleh dan ketika ia mengering, agak sukar untuk membuangkannya dan sesetengah jenis gam akan menyerap dan mengubah permukaan asli kayu. Untuk itu penggunaan pita perekat boleh mengelakkan perkara ini berlaku.
Langkah terakhir ialah menyapukan wood finish untuk menimbulkan ira-ira yang terdapat pada permukaan kayu. Selain ira kayu, langkah menyapukan wood finish yang dipilih juga mampu melindungi rekaan daripada kerosakan terutama ketika berdepan dengan kelembapan. Permukaan yang mempunyai wood finish yang bersesuaian mampu memberikan hasil akhir rekaan yang sangat berkualiti seperti seorang yang profesional.