Ketika anak kecil sudah mulai berjalan, kini tiba pula masanya mereka belajar kemahiran hidup lainnya sebagai persediaan untuk mereka berdikari.
Fasa-fasa pembelajaran anak-anak kecil ini memerlukan panduan dan sokongan, untuk itu, awda perlu menyediakan alat-alat pembelajaran seperti alat permainan mahupun berkaitan kehidupan. Alat permainan mempunyai fungsi untuk merangsang kreativiti anak-anak sekali gus menjadikan mereka berkembang. Melihat kepentingan ini, ketika mereka bermain pada meja kecil, bangku mini juga perlu dimiliki untuk memudahkan mereka duduk dan menumpukan perhatian sepenuhnya.
Persiapan awal yang perlu ada
Dalam projek ini, beberapa barangan perlu disediakan untuk mereka bangku mini untuk si cilik. Sebelum memulakan proses pembuatan, terlebih dahulu awda perlu menyediakan kepingan papan, mesin ketam kayu, mesin pemotong kayu meja, mesin jig atau bandsaw, mesin gerudi, dowel, pita pengukur, pensel penanda, kertas pasir, kepingan kertas dan gam kayu.
Ukur, tanda dan potong
Kepingan papan yang telah disediakan terlebih dahulu perlu diratakan permukaannya menggunakan mesin ketam kayu. Langkah ini perlu dilakukan terutamanya bagi awda yang menggunakan kayu terjual yang tidak diketam. Hal ini penting memandangkan permukaan kayu kasar berisiko menyebabkan ‘splinter’ sama ada ketika mengendalikan, bersentuhan atau duduk di atasnya. Oleh itu, persediaan awal yang kemas penting dalam setiap rekaan.
Setelah meratakan permukaan papan, mulakan langkah pemotongan meng-gunakan mesin pemotong kayu jenis meja. Terlebih dahulu tandakan ukuran yang hendak dipotongkan dan tetapkan rip fence dengan jarak diperlukan dari bilah mesin. Potong papan-papan tersebut dengan ukuran 11 inci x 11 inci dua batang untuk bahagian kedua-dua sisi bangku, 11inci x 7 ½ inci untuk bahagian tempat duduk, dan 16 ½ inci x 11 inci untuk bahagian sandaran.
Langkah seterusnya ialah melakar bentuk mata katak untuk panduan pemotongan kayu. Bentuk mata katak tersebut tidaklah perlu terlalu terperinci, cukuplah melakar garisan luaran dan dalamannya. Ukuran kertas tersebut perlulah sama seperti lebar papan untuk bahagian sandaran. Setelah melakarkannya, kertas tersebut akan dilekatkan pada permukaan papan menggunakan gam dan biarkannya mengering sebelum meneruskan langkah pemotongan.
Sementara menunggu ia mengering, gunakan masa untuk melakar bentuk kaki katak bagi kayu bahagian kedua-dua sisi bangku. Lakaran kaki bangku berbentuk kaki katak akan merangkumi bahagian paha dan jari kaki. Sama seperti langkah sebelumnya, gunakan kertas tersedia untuk melakarnya dan lekatkannya pada permukaan papan.
Gam yang telah menge-ring akan membolehkan awda meneruskan langkah pemotongan menggunakan bandsaw atau mesin jig. Potong material perlahan dan pastikan bilah pemotong jauh dari kedudukan jari terutamanya ketika awda menyorongkan dan memutarkannya. Mesin seperti bandsaw, walaupun mudah dan cepat untuk digunakan, memerlukan tumpuan sepenuhnya bagi mengelakkan kecederaan.
Manakala bagi awda yang menggunakan mesin jig, pastikan bahagian bawahnya tidak terhalang bagi membolehkan bilah mesin dapat memotong kayu dengan sempurna. Jika terhalang, ini akan menyebabkan bilah bengkok dan lebih teruk, patah yang setentunya melambatkan proses rekaan.
Bilah yang bengkok pula akan menyebabkan pemotongan tidak rata di mana kebiasaannya, pada bahagian depan atau belakang lebih kecil berbanding bahagian lawannya. Lebih parah, ia terlalu ketara sehingga menyebabkan awda perlu mengulang semula langkah pemotongan ataupun meratakan permukaan kayu menggunakan kertas pasir.
Kerja yang kurang cermat pada peringkat awal, akan mengheret awda untuk melakukan langkah penambahan yang setentunya memerlukan lebih masa dan tenaga.
Bagi bahagian mata katak pula, sebelum membolehkan bilah mesin jig memotongkan bahagian dalaman, awda perlu menebuk lubang berukuran besar berbanding bilah pemotong menggunakan mesin gerudi. Selesai melakukannya, ratakan permukaan kasar potongan menggunakan kikir kayu mahupun kertas pasir.
Langkah seterusnya ialah menebuk lubang untuk mencantumkan bahagian sandaran dan tempat duduk pada bahagian sisi kaki bangku. Memandangkan bahagian sandaran akan ditetapkan dalam keadaan mencondong, ia mungkin agak sukar untuk menetapkan kedudukannya jika dilakukan seorang diri. Selain meminta bantuan seseorang, awda juga boleh melakukannya sendiri dengan menebuk lubang pada bahagian hujung atas kaki bangku.
Setelah itu masukkan skru pada bahagian tersebut untuk menetapkan kedudukannya sementara awda menebuk lubang-lubang lain. Skru tersebut berfungsi sebagai pivot point untuk menyelaras kedudukan yang diinginkan. Kedudukan sandaran yang mencondong lebih kurang 10 darjah diperlukan untuk dalam rekaan ini. Lubang yang ditebuk perlulah sedikit kecil daripada dowel untuk memastikan ia benar-benar ketat ketika dimasukkan.
Sementara untuk bahagian tempat duduk, kedudukan 10 darjah mencondong juga diperlukan sesuai bahagian sandaran. Teknik yang sama juga digunakan iaitu menebuk lubang pada permukaan kaki bangku sesuai kedudukan kayu tempat duduk.
Apabila kesemua lubang telah ditebuk, langkah seterusnya ialah memasukan dowel ke dalam lubang-lubang tersedia. Sebelum itu, kesemua permukaan cantuman dan lubang dowel akan disapukan dengan gam kayu bagi memastikan struktur bangku kukuh.
Lebihan dowel yang terlalu panjang boleh dipotong menggunakan gergaji fleksibel.
Potongan dowel yang tidak rata juga perlu digosok dengan kertas pasir agar rekaan lebih sempurna.
Langkah terakhir rekaan ialah menyapukan keseluruhan permukaan dengan wood finish pilihan. Selain memberikan hasil akhir lebih baik, langkah tersebut juga bagi melindungi permukaan kayu daripada kelembapan selain mudah dibersihkan daripada kotoran ketika si cilik menggunakannya. Selamat mencuba!