Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bangku rekaan hiasi ruangan bermain muzik

    Oleh Amri HTZ –

    Piano merupakan salah satu instrumen muzik popular yang mampu menawan hati pendengarnya ketika lagu dimainkan.

    Ketika memainkannya, ia memerlukan bangku bersesuaian yang cukup luas dan tinggi. Ini adalah bagi keselesaan pemainnya ketika memainkan lagu. Untuk itu bagi mendapatkan bangku yang ‘sempurna’ untuk diri sendiri, projek rekaan ini akan membawa awda menelusuri langkah pembuatannya yang cukup mudah.

    Barangan diperlukan

    • Papan walnut 8” x1” x 9’
    • Papan maple 4” x 8” x 0.25”
    • Gam kayu
    • Sku
    • Pocket hole jig
    • Mesin gerudi
    • Mesin pemotong kayu meja
    • Mesin router

    Proses pembuatan

    Papan yang tersedia pada awalnya akan diratakan permukaannya menggunakan mesin ketam kayu. Ini diikuti dengan langkah pemotongan kayu menggunakan mesin pemotong kayu meja. Permukaan utama bangku memerlukan kayu berukuran 13” x 28”. Oleh itu sesetengah bahagian akan memerlukan awda mencantumkan dua atau tiga keping kayu untuk mendapatkannya. (Gambar 2)

    Untuk bahagian kaki pula ketinggian lebih kurang 19” diperlukan. Lebar kayu pula 2” dengan bahagian hujung kayu (bahagian bawah) dikecilkan 1 ½”. Sementara untuk panjang kayu bahagian tengah pula lebih kurang 20”.(gambar3)

    Setelah melakar ukuran pada permukaan papan, awda boleh memotongnya sama ada menggunakan mesin jig atau mesin router. Penggunaan mesin router sengaja dipilih memandangkan ia mampu menghasilkan potongan yang lebih bersih dan tepat menggunakan alat bantuan seperti pembaris. Bagi mengelakkan pembaziran, sekeping papan yang digunakan boleh memuatkan sehingga tiga bahagian kaki bangku. (Gambar 4)

    Gambar 1. – Gambar oleh KozyWhiskey
    Gambar 2. – Gambar oleh KozyWhiskey
    Gambar 3. – Gambar oleh KozyWhiskey
    Gambar 4. – Gambar oleh KozyWhiskey
    Gambar 5. – Gambar oleh KozyWhiskey
    Gambar 6. – Gambar oleh KozyWhiskey
    Gambar 7. – Gambar oleh KozyWhiskey
    Gambar 8. – Gambar oleh KozyWhiskey
    Gambar 9. – Gambar oleh KozyWhiskey
    Gambar 10. – Gambar oleh KozyWhiskey
    Gambar 11. – Gambar oleh KozyWhiskey

    Manakala bahagian sokongan kaki bangku pula akan dipotong menggunakan mesin pemotong kayu meja.

    Bahagian ini akan memastikan struktur kaki benar-benar kukuh ketika dicantum. Kayu dengan panjang 10 inci diperlukan dengan kedua-duanya akan ditebuk untuk ruangan skru. (Gambar 5)

    Cantum kaki bangku

    Sebelum membolehkan awda menyapukan gam kayu untuk mencantumkan kaki bangku, setiap permukaan cantuman akan dimasukkan dengan pasak berupa dowel. Ini bagi memastikan cantuman benar-benar kukuh dan kekal bertahan lama. Bagi melakukannya, pocket hole jig diperlukan untuk memastikan kedudukannya tepat di antara kedua-dua kayu yang dicantumkan. (Gambar 6)

    Setelah kesemua kayu ditebuk, bahagian-bahagian kayu kaki meja tersebut bolehlah dicantum menjadi satu. Sapukan keseluruhan permukaan cantuman menggunakan gam kayu. Ini termasuk lubang yang ditebuk dan dimasukkan dengan dowel. Kekalkan kedudukan cantuman menggunakan pengapit kayu. (Gambar 7)

    Permukaan utama bangku

    Bagi permukaan utama bangku berukuran 13” x 28”, dua keping papan akan dicantumkan menjadi satu bagi mendapatkannya. Terlebih dahulu potong papan dengan panjang dan lebar yang sama. Setelah itu sapukan permukaan cantuman menggunakan gam dan kekalkan kedudukan menggunakan pengapit kayu. Biarkannya mengering selama beberapa jam sebelum melakukan langkah seterusnya. (gambar 8)

    Setelah gam mengering, permukaan sisi papan pula akan dibentuk membulat menggunakan mata router berbentuk corner round berukuran ¾”. Bagi memastikan cantuman kayu benar-benar kukuh, butterfly joint akan digunakan.

    Ukuran kayu butterfly digunakan lebih kurang 2.5” panjang dan 1” lebar. Bentuk sama diperlukan untuk ruangan pada permukaan papan dengan cara meniru luarannya. Untuk mereka ruangan kayu butterfly, gunakan pahat atau mesin router dengan straight bit. (Gambar 9)

    Tetapkan kayu butterfly dan kaki bangku

    Ruangan untuk kayu butterfly yang telah direka akan disapu dengan gam kayu. Bagi memasukkan kayu butterfly tersebut, ia hanya perlu diketuk menggunakan tukul kayu.

    Lebihan kayu butterfly yang timbul pada permukaan kayu kemudiannya diketam atau dipahat sehingga selaras dengan permukaan bangku. Kertas pasir berukuran 180 grit juga akan digunakan untuk meratakan permukaan tersebut. (Gambar 10)

    Langkah terakhir ialah menetapkan kaki bangku menggunakan skru pada bahagian bawah permukaan utama. Setelah itu awda boleh menyapukan keseluruhan permukaan kayu menggunakan wood finish pilihan bagi melindunginya selain menimbulkan ira-ira kayu yang tersembunyi. (Gambar 11)

    Tips rekaan

    • Berikan masa untuk gam mengering sepenuhnya sebelum mengendalikan rekaan untuk langkah seterusnya agar cantuman benar-benar kukuh.
    • Pilih kayu yang mempunyai ira yang menonjol untuk memastikan rekaan lebih menarik.
    • Gunakan gam kayu berkualiti bagi memastikan cantuman kukuh dan bertahan lama.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda