Saturday, July 26, 2025
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bangladesh adakan solat khas untuk mangsa nahas pesawat

    DHAKA, 25 JULAI – Solat khas telah diadakan di seluruh Bangladesh hari ini, ketika angka kematian pesawat pejuang merempuh sebuah bangunan sekolah di Dhaka meningkat kepada 32 orang.

    Kebanyakan yang maut terdiri daripada kanak-kanak yang paling muda berusia sembilan tahun selepas pesawat F-7 BJI buatan China merempuh Sekolah dan Kolej Milestone Isnin lalu akibat kerosakan mekanikal.

    Pihak berkuasa sebelum ini berkata 31 orang terbunuh dan 170 lagi cedera dalam nahas penerbangan paling teruk di negara itu dalam beberapa tahun.

    Mangsa terbaharu yang meninggal dunia akibat kecederaan ialah Tasnim Afroz Ayman, 10 tahun, kata penyelaras hospital, Sarkar Farhana Kabir kepada AFP.

    “Dia sedang menjalani rawatan di Unit penjagaan Rapi dengan 45 peratus melecur,” katanya.

    Penduduk Islam Bangladesh menunaikan solat khas di Masjid Negara Baitul Mukarram di Dhaka pada 25 Julai. – AFP

    Bapa saudara Ayman, Saiful Islam, berkata dia tetap tenang dan tabah walaupun menempuh kesakitan pada hari terakhirnya.

    “Malah semalam, dia menghiburkan ibunya. Tetapi Tuhan mempunyai rancangan lain,” kata Saiful kepada AFP.

    Sehingga Jumaat, 51 mangsa lain sedang menerima rawatan di beberapa buah hospital bandar itu.

    Susulan arahan kerajaan, semua masjid di seluruh negara itu mengadakan solat khas sebelum solat Fardu Jumaat.

    Ashraful Islam, yang hadir untuk bersolat di masjid berhampiran sekolah itu, kehilangan kedua-dua anaknya – Tahia Ashraf Nazia, 13, dan Arian Ashraf Nafi, 9. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda