Khamis, November 20, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bangladesh bakal umum keputusan perbicaraan bekas PM Hasina

    DHAKA, 13 NOV – Panel hakim di Bangladesh akan mengumumkan keputusan yang amat dinantikan dalam perbicaraan jenayah kemanusiaan terhadap bekas Perdana Menteri Sheikh Hasina pada 17 November, kata ketua pendakwa raya hari ini.

    Hasina, 78, yang kini melarikan diri di India, telah mengingkari arahan mahkamah untuk kembali ke Bangladesh bagi menghadiri perbicaraannya atas tuduhan mengarahkan tindakan keras berdarah dalam usaha gagal menumpaskan kebangkitan pelajar yang akhirnya menyebabkan kejatuhannya.

    “Keadilan akan ditegakkan mengikut undang-undang,” kata Ketua Pendakwa Raya, Tajul Islam kepada media.

    Perbicaraan tanpa kehadiran tertuduh yang bermula pada 1 Jun lalu, telah mendengar keterangan selama beberapa bulan yang mendakwa beliau mengarah pembunuhan beramai-ramai.

    Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), seramai 1,400 orang telah terbunuh antara Julai dan Ogos 2024 dalam usaha Hasina yang gagal untuk mengekalkan kuasa.

    Gambar fail Sheikh Hasina semasa mengangkat sumpah bagi penggal kelima di Istana Presiden, Dhaka pada 11 Januari 2024. – AFP

    Pendakwa raya telah memfailkan lima pertuduhan, termasuk gagal mencegah pembunuhan, yang diklasifikasikan sebagai jenayah terhadap kemanusiaan di bawah undang-undang Bangladesh. Mereka turut menuntut hukuman mati sekiranya beliau didapati bersalah.

    Antara yang turut didakwa ialah bekas menteri dalam negeri, Asaduzzaman Khan Kamal yang juga melarikan diri serta bekas ketua polis, Chowdhury Abdullah Al-Mamun, yang kini berada dalam tahanan dan telah mengaku bersalah.

    Ketegangan semakin memuncak ketika parti-parti politik bersiap menghadapi pilihan raya yang dijadualkan pada Februari.

    Parti Awami League, pimpinan Hasina yang kini diharamkan telah mengisytiharkan ‘tutup negara’ hari ini, sementara pasukan keselamatan dikerahkan dengan ketat di sekitar mahkamah, termasuk kenderaan perisai di pos kawalan.

    Kementerian Luar Bangladesh kelmarin turut memanggil duta India ke Dhaka, menuntut agar New Delhi menghalang Hasina daripada bercakap dengan wartawan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda