Bangladesh buka semula sekolah selepas 18 bulan

DHAKA, 12 SEPT – Kanak-kanak di Bangladesh kembali ke sekolah hari ini selepas ditutup selama 18 bulan, salah satu tempoh penutupan koronavirus paling lama di dunia.

Keputusan tersebut dibuat selepas UNICEF memberi amaran bahawa penutupan sekolah berpanjangan semasa krisis COVID-19 akan menjejaskan kesaksamaan bagi jutaan kanak-kanak di seluruh selatan Asia.

Di ibu kota Dhaka, pelajar-pelajar di sebuah sekolah dialu-alukan dengan jambangan bunga dan manisan, serta diarah memakai pelitup muka dan mensanitasi tangan mereka.

“Kami sangat teruja kembali ke sekolah,” beritahu Muntasir Ahmed, 15, kepada AFP ketika dia memasuki kampus.

“Saya berharap untuk berjumpa semua rakan-rakan dan guru-guru saya secara fizikal, bukan menerusi komputer riba pada hari ini.”

Di pintu masuk sekolah, para pegawai memeriksa suhu badan pelajar sebelum membenarkan mereka memasuki kampus.

Timbalan pengetua sekolah, Dewan Tamziduzzaman berkata dia ‘tidak menjangkakan jumlah kehadiran yang ramai pada hari pertama persekolahan’.

Hanya 41 peratus daripada 169 juta penduduk Bangladesh yang mempunyai telefon pintar, menurut persatuan operasi telekomunikasi negara tersebut. Ini bermakna jutaan kanak-kanak tidak mempunyai akses kepada pembelajaran secara dalam talian.

Meskipun memiliki telefon pintar, pelajar-pelajar di daerah pedalaman Bengladesh tidak mempunyai kemudahan akses berkelajuan tinggi yang diperlukan untuk pembelajaran. – AFP

Pelajar sekolah di Dhaka, Bangladesh, kembali menjalani pembelajaran di sekolah selepas 18 bulan ditutup bagi mencegah penularan COVID-19.- AP