DHAKA, 29 JULAI – Bangladesh dibelenggu wabak demam denggi paling teruk dalam negara, kata pegawai hari ini, dengan hospital dipenuhi dengan pesakit dan media sosial dibanjiri dengan rayuan meminta derma darah.
Lapan orang telah meninggal dunia dan terdapat 13,637 kes penyakit itu setakat ini pada tahun ini, dengan hampir 1,100 orang, kebanyakan mereka kanak-kanak, didiagnosis dalam tempoh 24 jam lalu, menurut angka rasmi. “Jumlah ini adalah yang tertinggi sejak kami mula menyimpan rekod mengenai pesakit denggi hampir dua dekad lalu,” beritahu pegawai kanan kementerian kesihatan Ayesha Akter kepada AFP.
Media tempatan melaporkan jumlah mangsa mungkin lebih tinggi dan akhbar Amader Shomoy berkata sekurang-kurangnya 30 orang telah meninggal dunia akibat denggi pada tahun ini.
Ibu negara Dhaka adalah yang paling teruk terjejas, dengan bandar itu melancarkan satu kempen pengasapan untuk membunuh nyamuk Aedes, yang berupaya menyebar penyakit denggi, Zika dan chikungunya. Denggi, yang mengakibat simptom seperti selesema, boleh membawa maut sekiranya ia menjadi demam berdarah. Tidak adanya vaksin atau mana-mana ubat lain untuk merawat denggi, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia. – AFP
