DHAKA, 30 DIS – Hospital Bangladesh menggantung rancangan menderma susu ibu kepada anak damit baharu lahir yang memerlukannya selepas dikecam ulama yang menegaskan skim itu melanggar undang-undang Islam.
Program berkenaan bertujuan memberi makan kepada 500 anak yatim dan anak damit yang ibu mereka bekerja di negara itu, antara negara mencatatkan kadar kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak dan tumbesaran lambat di dunia.
Namun pemimpin agama berkata, rancangan itu boleh membawa kepada pelanggaran hukum Syariah jika dua anak damit meminum susu daripada ibu sama dan kemudian berkahwin.
“Perkahwinan dan keturunan mereka tidak sah,” kata Gazi Ataur, jurucakap parti politik berpengaruh, Islami Andolan Bangladesh.
Bank susu dijangka dimulakan bulan ini di Dhaka, tetapi penyelaras projek, Mojibur Rahman, berkata ia ditangguhkan kerana kritikan meluas yang diterima.
Katanya, hospital mewujudkan perlindungan ketat bagi skim itu.
“Kami mengutip dan menyimpan susu secara berasingan dan merekodkan identiti penderma dengan tepat,” katanya hari ini, sehari selepas penggantungan bank susu itu diumumkan. – AFP