Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan Suruhanjaya Tinggi India
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 DIS – Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Nahida Rahman Shumona semalam, telah mengadakan majlis perjumpaan antara Bangladesh dan India sempena ‘Maitree Diwas’ atau lebih dikenali sebagai hari persahabatan India-Bangladesh.
Menurut PYT Nahida Rahman, pada 6 Disember 1971 India merupakan antara negara pertama yang mengiktiraf kemerdekaan Bangladesh.
Turut hadir di majlis berkenaan ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari selaku tetamu khas dan Pesuruhjaya Tinggi India ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Ajaneesh Kumar selaku tetamu kehormat.
Kedua-dua pesuruhjaya tinggi menekankan tentang keakraban tamadun, budaya, linguistik dan geografi antara ke-dua-dua buah negara dan mengongsikan sejarah bersama.
Majlis yang diadakan secara kecil-kecilan itu juga dihadiri oleh beberapa orang ahli Majlis Belia Brunei sebagai sebahagian daripada projek unik antara Suruhanjaya Tinggi Bangladesh dan mendengar sedikit sebanyak mengenai hubungan dua hala antara ke-dua-dua buah negara.
Menurut PYT Nahida Rahman lagi, India menyokong Bangladesh sejak ia memulakan perjuangannya untuk kemerdekaan di bawah kepimpinan Bangabandhu Sheikh Mujibur Rahman.
Antara sumbangannya adalah memberikan bantuan ketenteraan kepada Bangladesh untuk mendapatkan kedaulatan serta membantu Bangladesh muncul sebagai negara yang diiktiraf dan menyumbang bagi keamanan dan kemajuan dunia.
Yang Berhormat Dayang Khairunnisa mengucapkan terima kasih kepada pesuruhjaya tinggi atas perkongsian sejarah mereka dan kepentingan persahabatan sesama jiran.