DHAKA, BANGLADESH, 11 SEPT – Presiden Perancis Emmanuel Macron, menyaksikan penandatanganan perjanjian hari ini untuk memudahkan pinjaman kepada Bangladesh untuk pembangunan infrastruktur serta surat untuk membekalkan negara Asia Selatan itu dengan sistem satelit pemerhatian bumi.
Pemeteraian diadakan semasa lawatan dua hari Macron ke ibu negara Bangladesh, Dhaka, di mana beliau bertemu dengan Perdana Menteri Sheikh Hasina, untuk memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Jabatan Perhubungan Ekonomi Bangladesh menandatangani perjanjian tersebut dengan Agensi Pembangunan Perancis.
Surat makluman juga ditandatangani untuk menyediakan Bangladesh dengan sistem satelit pemerhatian bumi melalui kerjasama antara Bangladesh Satellite Company Limited (BSCL) dan Airbus Defense and Space SAS, Perancis.
Macron dan Hasina menyaksikan penandatanganan perjanjian di Pejabat Perdana Menteri.
Maklumat terperinci masih tidak jelas, dengan pihak berkuasa Bangladesh berkata mereka masih membincang butiran-butiran tersebut.
“Satelit yang akan kita beli akan bergerak melalui orbit dalam lingkungan jarak 350 batu di atas bumi. Ia akan digunakan terutamanya untuk mengawasi status tanaman dan laut kami. Buat masa ini, kami tidak mempunyai keupayaan pemantauan merentasi lautan yang luas,” kata Pengerusi BSCL, Shahjahan Mahmud, seperti yang dilaporkan oleh akhbar bahasa Inggeris terkemuka Bangladesh, The Daily Star.
Bangladesh telah membeli satelit komunikasi dan penyiaran geopegun pertamanya, yang diberi nama Bangabandhu Satellite-1 dan dilancarkan pada tahun 2018, dari Perancis di mana ia dikeluarkan oleh Thales Alenia Space.
Perancis adalah rakan perniagaan kelima terbesar Bangladesh dalam bidang kejuruteraan, tenaga, aeroangkasa dan sektor air. – AP


