Tuesday, September 17, 2024
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bangladesh mohon ekstradisi Sheikh Hasina dari India

    DHAKA, 9 SEPT – Tribunal jenayah perang Bangladesh akan memohon ekstradisi pemimpin yang digulingkan, Sheikh Hasina dari negara jiran, India, kata ketua pendakwa raya, sambil menuduhnya melakukan ‘pembunuhan beramai-ramai’.

    Demonstrasi yang dipimpin oleh pelajar di Bangladesh telah meningkat menjadi protes besar-besaran bulan lalu, dengan Hasina meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan melarikan diri dengan helikopter ke India pada 5 Ogos, mengakhiri pemerintahan kuku besinya selama 15 tahun.

    “Memandangkan pelaku utama telah melarikan diri dari negara ini, kami akan memulakan prosedur undang-undang untuk membawanya pulang,” kata Mohammad Tajul Islam, ketua pendakwa raya Tribunal Jenayah Antarabangsa (ICT) Bangladesh, kepada pemberita kelmarin.

    ICT telah ditubuhkan oleh Hasina pada 2010 untuk menyiasat kekejaman semasa perang kemerdekaan 1971 dari Pakistan.

    Kerajaan Hasina dituduh melakukan pelanggaran hak asasi manusia yang meluas, termasuk penahanan besar-besaran dan pembunuhan di luar undang-undang terhadap penentang politiknya.

    “Bangladesh mempunyai perjanjian ekstradisi jenayah dengan India yang ditandatangani pada 2013, semasa kerajaan Sheikh Hasina berkuasa,” tambah Islam.

    “Memandangkan dia telah dijadikan tertuduh utama dalam pembunuhan beramai-ramai di Bangladesh, kami akan cuba membawanya kembali ke Bangladesh untuk menghadapi perbicaraan secara sah.”

    Hasina, 76, tidak kelihatan di khalayak ramai sejak melarikan diri dari Bangladesh, dan lokasi terakhirnya yang diketahui adalah pangkalan udara tentera berhampiran ibu negara India, New Delhi. Kehadirannya di India telah menimbulkan kemarahan Bangladesh. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda