DHAKA, 18 NOV – Bangladesh akan meminta India untuk mengekstradisi bekas Perdana Menteri Sheikh Hasina, yang hidup dalam buangan sejak Ogos selepas melarikan diri daripada pemberontakan yang dipimpin pelajar, kata ketua kerajaan sementara negara itu kelmarin.
Menurut Agensi Anadolu, Muhammad Yunus membuat kenyataan itu dalam ucapan televisyen kepada rakyat sempena 100 hari beliau mentadbir kerajaan dengan menyatakan pentadbirannya komited untuk memastikan mereka yang bersalah kerana menghalang protes untuk menggulingkan Hasina akan dihadapkan ke muka pengadilan.
“Kami akan memastikan keadilan untuk setiap pembunuhan (melalui perbicaraan). Inisiatif yang kami ambil untuk memastikan keadilan bagi pembunuhan pada Julai-Ogos juga berjalan dengan amat baik. Kami juga akan menuntut diktator yang telah dijatuhkan, Sheikh Hasina dibawa kembali ke Bangladesh dari India,” kata Yunus.
India dan Bangladesh mempunyai perjanjian ekstradisi dua hala.
Hasina melarikan diri ke India pada 5 Ogos berikutan protes besar-besaran pada Julai dan Ogos. Selepas Hasina melarikan diri, Yunus pemenang Hadiah Nobel, mengambil alih jawatan pada 8 Ogos.
Semasa protes itu sekitar 1,500 orang terkorban, kata Yunus dalam ucapannya.
“Kerajaan sedang mengumpul maklumat mengenai setiap kematian dengan teliti. Seramai 19,931 orang cedera dalam pemberontakan ini,” tambahnya.
Tribunal Jenayah Antarabangsa yang berpusat di Dhaka mengeluarkan waran tangkap terhadap Hasina dan 45 individu lain, termasuk pembantu rapatnya, atas tuduhan jenayah terhadap kemanusiaan yang dilakukan ketika protes berlangsung. – Bernama