Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bangladesh mulakan perbicaraan bekas PM

    DHAKA, 2 JUN – Sebuah dewan pengadilan khas yang telah ditubuhkan untuk mendakwa bekas Perdana Menteri Bangladesh yang digulingkan, Sheikh Hasina, telah memulakan prosidingnya kelmarin dengan menerima tuduhan jenayah kemanusiaan terhadapnya berhubung pemberontakan besar-besaran yang mengorbankan ratusan pelajar tahun lalu.

    Dewan Pengadilan Jenayah Antarabangsa yang berpangkalan di Dhaka mengarahkan penyiasat membawa Hasina, bekas menteri dalam negeri dan ketua polis sebelum ini, ke mahkamah pada 16 Jun.

    Hasina telah hidup dalam buangan di India sejak 5 Ogos 2024, manakala bekas Menteri Dalam Negeri, Asaduzzaman Khan telah hilang dan dipercayai masih berada di India.

    Bangladesh menghantar permintaan rasmi kepada India untuk mengekstradisi Hasina pada Disember lalu.

    Dalam laporan penyiasatan pada 12 Mei, penyiasat tribunal membawa lima tuduhan jenayah kemanusiaan terhadap Hasina dan dua lagi individu berkaitan pemberontakan besar-besaran pada Julai-Ogos tahun lalu.

    Tuduhan tersebut menyatakan Hasina bertanggungjawab secara langsung mengarahkan semua pasukan kerajaan, parti Liga Awami dan sekutunya menjalankan tindakan yang mengakibatkan pembunuhan beramai-ramai, kecederaan, keganasan terpilih terhadap wanita dan kanak-kanak, pembakaran mayat serta penafian rawatan perubatan kepada mereka yang cedera.

    Tiga hari selepas Hasina digulingkan, pemenang Hadiah Keamanan Nobel, Muhammad Yunus, telah mengambil alih sebagai pemimpin interim negara tersebut. – AP

    Gambar fail Sheikh Hasina memeriksa kawalan kehormatan semasa upacara sambutan di rumah kerajaan, Bangkok, Thailand pada 26 April 2024. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda