Friday, November 15, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bangladesh rawat kes pertama ‘gadis pokok’

    DHAKA, 31 Jan – Seorang budak perempuan Bangladesh yang ditumbuhi ketuat seperti pokok di wajahnya, boleh jadi perempuan pertama pernah terjejas dengan keadaan yang digelar ‘sindrom lelaki pokok,’ menurut doktor yang mengkaji keadaan ganjil itu hari ini.

    Budak perempuan itu, Sahana Khatun, 10, mempunyai ketuat yang tumbuh di dagu, telinga dan hidung, namun doktor-doktor di Hospital dan Kolej Perubatan Dhaka masih lagi menjalankan ujian untuk mengenal pasti sama ada dia mempunyai gangguan kulit luar biasa.

    Kurang daripada sedozen orang di seluruh dunia mempunyai ketuat yang secara saintifiknya dikenali sebagai epidermodysplasia verruciformis namun setakat ini belum ada wanita yang dijejaskan oleh sindrom itu, kata Samanta Lal Sen, ketua unit lecur dan pembedahan plastik hospital itu.

    “Kami percaya bahawa dia merupakan perempuan pertama,” kata Sen memberitahu AFP.

    Gambar diambil pada 30 Januari menunjukkan Sahana Khatun, 10, bergambar di Hospital dan Kolej Perubatan Dhaka. Dia merupakan perempuan pertama yang terjejas dengan keadaan yang digelar ‘sindrom lelaki pokok.’ – AFP

    Bapanya, seorang buruh miskin dari pedalaman utara Bangladesh, tidak terlalu bimbang pada awalnya ketuat itu muncul di wajah anaknya kira-kira empat bulan lalu.

    Namun apabila ia tumbuh secara drastik dan semakin membesar, dia mula bimbang dan membawa Khatun dari kampung mereka ke ibu negara, Dhaka untuk rawatan.

    “Kami sangat miskin. Anak perempuan saya kehilangan ibunya semasa dia berusia enam tahun. Saya sangat berharap para doktor dapat menghilangkan ketuat daripada wajah cantik anak saya,” bapanya, Mohammad Shahjahan memberitahu AFP. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda