DHAKA, 1 MEI – Biro cuaca Bangladesh hari ini berkata bulan April merupakan bulan paling panas dalam rekod, dengan negara Asia Selatan dan sebahagian besar wilayah itu masih mengalami gelombang panas melampau.
Penyelidikan saintifik yang luas telah mendapati perubahan iklim menyebabkan gelombang haba menjadi lebih panjang, lebih kerap dan lebih teruk.
Panas yang sangat terik bulan lalu memaksa kerajaan Bangladesh menutup sekolah di seluruh negara, mendorong 32 juta pelajar belajar di rumah.
“Tahun ini gelombang haba meliputi kira-kira 80 peratus negara. Kami tidak pernah melihat gelombang haba yang berterusan dan meluas sebelum ini,” beritahu ketua peramal cuaca di Jabatan Meteorologi Bangladesh, Muhammad Abul Kalam Mallik, kepada AFP.
Dia berkata bulan lalu adalah paling panas sejak rekod bermula pada 1948 ‘dari segi hari panas dan liputan kawasan di negara itu’.

Stesen cuaca di seluruh Bangladesh telah mencatatkan suhu antara dua hingga lapan darjah lebih tinggi berbanding purata suhu harian 33.2 darjah Celsius yang direkod pada April antara tahun 1981 dan 2010, katanya.
Jurucakap jabatan kesihatan, Selim Raihan memberitahu AFP bahawa kerajaan telah mengesahkan sekurang-kurangnya 11 kematian berkaitan strok haba dalam tempoh 10 hari lalu.
Hujan dijangka membawa sedikit kelegaan kepada Bangladesh mulai esok selepas seminggu suhu panas terik, dengan ibu negara Dhaka mencatatkan suhu melebihi 40 darjah Celsius selama beberapa hari.
Mallik berkata cuaca panas melampau telah bertambah buruk dengan ketiadaan ribut petir sebelum monsun April yang biasanya menyejukkan negara Asia Selatan menjelang musim panas.
“Bangladesh menerima purata 130.2 milimeter hujan pada April.
“Tetapi April ini, kami mendapat purata satu milimeter hujan,” katanya. – AFP

