Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bangladesh siasat punca kebakaran besar di lapangan terbang utama

    DHAKA, 19 OKT – Pihak berkuasa Bangladesh memulakan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran besar yang memusnahkan kompleks kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal, sekali gus menyebabkan kerugian besar kepada sektor perdagangan negara itu.

    Persatuan Pengilang dan Pengeksport Pakaian Bangladesh (BGMEA) dalam laporan awal menyatakan kerugian langsung dan tidak langsung akibat insiden itu dianggarkan mencecah AS$1 bilion.

    Pihak bomba berjaya mengawal kebakaran berkenaan sebelum operasi penerbangan disambung semula kelmarin, kata Pengarah Eksekutif Lapangan Terbang, S. M. Ragib Samad, kepada AFP.

    Kebakaran itu menjejaskan kawasan penyimpanan barangan import termasuk fabrik, aksesori pakaian, farmaseutikal, bahan kimia dan pelbagai barangan import lain dilaporkan musnah.

    Asap tebal yang menyelubungi kawasan landasan turut memaksa pihak berkuasa menangguhkan sementara semua penerbangan bagi memastikan keselamatan operasi udara.

    Asap berkepul-kepul dari terminal kargo yang rosak akibat kebakaran di Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal, sehari selepas kebakaran di Dhaka kelmarin. – AFP

    Lembaga Hasil Negara (NBR) juga berkata ia sedang menilai kerosakan.

    Bangladesh merupakan pengeluar pakaian kedua terbesar dunia, dengan sektor tekstil dan pakaian menyumbang kira-kira 80 peratus daripada jumlah eksport negara.

    “Kami menyaksikan kejadian yang amat dahsyat di dalam kompleks kargo. Seluruh bahagian import menjadi abu,” kata Pengarah BGMEA, Faisal Samad, sambil menambah kerugian dijangka melebihi AS$1 bilion.

    Asap masih dilihat keluar dari sisa bangunan yang hangus hari ini.

    Pegawai kanan di Jabatan Kesihatan, Moinul Ahsan, memaklumkan empat individu telah dibawa ke hospital akibat kecederaan ringan.

    Punca kebakaran masih belum diketahui. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda