Wednesday, November 27, 2024
29 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bangladesh tahan ketua Jamaat al Ansar

    DHAKA, 25 JUN – Polis Bangladesh telah menahan pemimpin organisasi Islam di tempat persembunyiannya di Dhaka, kata pegawai, kelmarin, beberapa bulan selepas pelancaran tindakan keras terhadap kumpulan tersebut.

    Shamin Mahfuz, Pengasas Jamaat al Ansar fil Hindal Sharqiya, dituduh membantu menjalankan kem latihan pemberontakan di Chittagong Hill Tracts yang tidak stabil di negara itu.

    Polis berkata Mahfuz ditahan lewat Jumaat bersama isterinya di pinggir perindustrian ibu kota, di mana mereka didapati memiliki pistol, bahan letupan dan bahan membuat bom.

    “Satu kes antikeganasan telah difailkan terhadap Mahfuz. Kami memohon reman selama 10 hari untuk menyoalnya,” kata Mohammad Asaduzzaman dari unit memerangi keganasan Polis Metropolitan Dhaka kepada pemberita.

    Peguam Mahfuz tidak dapat dihubungi untuk memberikan komen.

    Asaduzzaman berkata pengasas Sharqiya itu mula-mula ditahan pada 2014 dan berhubung dengan kumpulan pelampau terlarang lain semasa berada di penjara.

    Beliau berkata Mahfuz telah mengatur perjanjian bagi organisasi tersebut menggunakan kem latihan yang dikendalikan oleh Barisan Nasional Kuki-Chin (KNF), sebuah kumpulan pemberontak puak yang kebanyakannya beragama Kristian.

    Oktober lalu, pasukan keselamatan Batalion Tindakan Pantas elit negara itu berkata mereka telah melancarkan serangan ke atas perkhemahan KNF dan Sharqiya di tiga bandar bukit terpencil berhampiran sempadan India, dan menahan puluhan orang. – AFP

    Ketua Pertubuhan Islam, Jamaat al Ansar Fil Hindal Sharqiya, dan isterinya selepas ditahan, di Dhaka pada 24 Jun. –AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda