DHAKA, 10 NOV – Seorang penyerang di Bangladesh telah melancarkan tujuh serangan bom petrol buatan sendiri di sekitar bandar Dhaka hari ini, termasuk menyasarkan sebuah bangunan yang dikaitkan dengan pemimpin sementara Muhammad Yunus, menurut polis dan tiada kecederaan dilaporkan.
Polis Metropolitan Dhaka memaklumkan mereka telah menahan seorang lelaki berusia 28 tahun yang disyaki terlibat dalam ‘siri serangan’ tersebut.
Menurut polis, suspek dikenal pasti sebagai anggota sayap pelajar Liga Awami, parti pemerintah terdahulu yang dipimpin oleh Sheikh Hasina, yang digulingkan pada Ogos 2024.
“Suspek sedang disoal siasat berhubung beberapa insiden,” kata polis dalam satu kenyataan.
Antara serangan itu termasuk bom petrol yang dilemparkan pada malam Jumaat ke arah Katedral St. Mary dan sebuah sekolah Katolik di Dhaka. Tiada kecederaan turut dilaporkan dari insiden tersebut.

Manakala, pada awal pagi hari ini, beberapa bom petrol turut menyasarkan pejabat Bank Grameen, institusi mikro-kewangan terkemuka yang diasaskan oleh pemenang Hadiah Nobel, Muhammad Yunus, yang kini mengetuai kerajaan sementara selepas penggulingan Hasina.
Sasaran lain termasuk sebuah bangunan perniagaan milik anggota kabinet Yunus, Farida Akhtar serta dua buah bas dan sebuah hospital.
Insiden terbaru itu telah meningkatkan lagi ketegangan politik di Bangladesh ketika parti-parti sedang bersiap untuk menghadapi pilihan raya pertama selepas kejatuhan Hasina, yang dijangka berlangsung pada Februari 2026.
Pasukan keselamatan telah “memperhebat operasi besar-besaran di seluruh kota bagi menahan semua individu yang terlibat dalam tindakan ganas dan pengecut itu,” menurut kenyataan polis.
Kempen pilihan raya yang bermula awal November telah dicemari dengan insiden keganasan.
Seorang maut akibat tembakan di perhimpunan kempen pada Rabu lalu, manakala dua lagi, termasuk seorang calon telah tercedera.
Bangladesh turut menyaksikan siri pembunuhan politik dan rusuhan orang awam, dengan pihak polis menawarkan ganjaran bagi penyerahan lebih 1,300 senjata api, termasuk mesingan, raifal dan pistol yang telah dilarikan semasa rusuhan tahun lalu. – AFP
