DHAKA, 5 NOV – Polis Bangladesh telah menahan hampir 8,000 aktivis pembangkang dalam tindakan keras di seluruh negara sejak pegawai menumpaskan perhimpunan besar di ibu negara seminggu lalu, menurut laporan hari ini.
Gelombang penahanan yang meluas berlaku menjelang pilihan raya umum yang dijadualkan pada Januari.
Pembangkang utama negara itu, Parti Nasionalis Bangladesh (BNP), dan sekutunya telah mengadakan perhimpunan besar sejak beberapa bulan kebelakangan ini menuntut Perdana Menteri, Sheikh Hasina, berundur dan membenarkan kerajaan berkecuali menyelia pengundian.
Hasina telah mencapai pertumbuhan ekonomi yang mengagumkan dalam tempoh 15 tahun pemerintahannya tetapi dia dituduh memerintah negara Asia Selatan itu dengan kawalan ketat ke atas masyarakat.
Amerika Syarikat telah mengenakan sekatan ke atas beberapa tokoh polis tertingginya atas pelanggaran hak asasi manusia.

Lebih daripada 100,000 penyokong pembangkang menyertai ‘perhimpunan besar’ di tengah Dhaka pada Sabtu lepas, ketika seorang polis terbunuh dalam rusuhan.
Sejak itu, polis telah melancarkan tindakan tegas yang meluas ke atas BNP, menahan ribuan aktivis dan mendakwa sekurang-kurangnya 162 daripada pemimpin teratasnya dengan membunuh pegawai tersebut.
Akhabar yang paling banyak dibaca dan dihormati di negara ini, Prothom Alo, melaporkan hari ini bahawa sekurang-kurangnya 7,835 orang telah ditahan, berdasarkan laporan dari wartawannya di seluruh negara.
Jurucakap polis negara, Abir Siddique Shuvra, tidak dapat memberikan jumlah penahanan yang tepat kepada AFP, tetapi mengatakan individu yang ditangkap berdepan kes jenayah dan waran.
“Mustahil untuk memberikan angka yang tepat. Polis sedang menjalankan tugas kami seperti biasa,” katanya. – AFP