Sunday, April 13, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Banglo dijilat api

    Oleh Sim Y.H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JULAI – Sebuah rumah banglo ranap dalam kejadian kebakaran yang berlaku di Kampung Beribi pada pukul 7:48 malam, kelmarin, bagaimanapun tiada korban jiwa dilaporkan.

    Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat, seramai 12 orang anggota dari Balai Bomba Beribi yang diketuai oleh ASO Haji Yusly bin Haji Tamit dikejarkan ke tempat kejadian.

    Kenyataan menyatakan bahawa apabila tiba di tempat kejadian, anggota bomba mendapati api marak telah membakar keseluruhan rumah yang diperbuat daripada sebahagian konkrit dan beratapkan spandik itu. 

    Anggota bomba bertindak memadam menggunakan dua jet hose menggunakan control dividing breeching dengan api dapat dikawal dalam masa 4 minit.

    Kenyataan seterusnya menyatakan bahawa penghuni rumah telah keluar dengan selamat dan tidak mendapat kecederaan sebelum bomba tiba manakala itu, punca api dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

    Sehubungan itu, JBP menyarankan orang ramai untuk memastikan kediaman dilengkapi dengan peralatan keselamatan iaitu alat pemadam api seperti jenis debu kering, selimut api atau alat pengesan asap.

    Orang ramai juga disarankan supaya memastikan pemasangan pendawaian dan peralatan elektrik di dalam kediaman dilaksanakan oleh pekerja yang bertauliah, memastikan menutup mana-mana suis peralatan elektrik selepas digunakan atau sebelum meninggalkan rumah serta memastikan untuk menutup dan dicabut kepala gas jika tidak digunakan serta menggantikan kepala gas setiap lima tahun dan hos gas setiap dua tahun mengikut piawaian pihak BSM.

    Anggota bomba dan penyelamat bertindak memadamkan kebakaran dalam kejadian kebakaran rumah di Kampung Beribi, kelmarin. – Gambar serahan JBP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda