Ketika heboh berita banglo bernilai jutaan ringgit milik Allahyarham Datuk Sharifah Aini dirobohkan, ramai peminat berkongsi rasa sedih melihat peninggalan biduanita negara itu terkubur begitu sahaja.
Bagaimanapun, tidak ramai yang tahu tentang reka binaan serta hiasan dalaman kediaman tersebut serta ruangan kegemaran yang menjadi pilihan peribadi pemilik nama Sharifah Aini Syed Jaafar itu.
Menyingkap keistimewaan di sebalik banglo mewah yang terletak di Petaling Jaya, Selangor itu, Sharifah Aini atau lebih mesra dengan panggilan Kak Pah yang mempunyai hubungan baik dengan wartawan hiburan tidak lokek membawa mereka berkunjung ke kediamannya.
Jemputan biasanya untuk sesi minum petang, makan malam atau sesi berborak santai antara dia dengan pengamal media yang rapat dengannya, dedah mStar.
Itulah Kak Pah, seorang yang sentiasa menghargai sahabat media kerana Allahyarham sentiasa percaya peranan golongan itu terhadap pencapaian kerjaya seninya sebagai pelakon mahupun penyanyi.
Kebanyakan yang pernah mengunjungi kediaman Allahyarham memuji keindahan banglo itu kerana sentuhan dekorasi, susun atur perabot dan barangan peribadi di dalamnya, dilakukan sendiri oleh Kak Pah.
“Rumah artis yang paling cantik pernah saya lihat,” kongsi editor kanan dan penulis lirik, Roslen Fadzil atau Slen.
Menurutnya, setiap ruangan banglo itu dihiasi perabot mewah yang mendapat sentuhan susun atur penyanyi lagu Seri Dewi Malam itu sendiri. Antara ruang istimewa yang terdapat di kediaman tersebut adalah surau yang luas bagi meraikan anak-anak tahfiz dan yatim piatu dalam setiap acara keagamaan yang dianjurkan. – Agensi