Sunday, November 17, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Banglo usang dipenuhi mural jadi tumpuan pelancong

    KLUANG – Sebuah banglo yang dahulunya usang kini menjadi tarikan pelancong apabila premis itu menjadi kanvas kepada Zulkefli Dahlan bagi menghasilkan puluhan mural tiga dan empat dimensi (3D dan 4D).

    Bekas kartunis sambilan majalah humor berusia 46 tahun itu berkata dia tidak menyangka aktiviti yang dibuat pada masa lapang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) empat tahun lepas akibat pandemik COVID-19 mendapat pengiktirafan pihak berkuasa tempatan.

    Banglo yang dahulunya usang dan terbengkalai itu kini dikenali sebagai Rumah Seni Kluang selepas dindingnya dilukis dengan kira-kira 80 mural 3D dan 4D selain turut dijadikan lokasi wajib kunjung di daerah itu oleh Tourism Johor.

    “Mural terawal yang saya buat ialah suasana Kampung Palembang iaitu antara lokasi di Kluang dan sebuah warong kopi yang sinonim dengan daerah ini.

    “Selain itu, mural yang turut menjadi tumpuan ialah potret Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail. Mural ini dihasilkan menggunakan cat khas iaitu cat mural, cat pintar serta cat air sebelum disapukan dengan lakuer,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

    Zulkefli berkata Rumah Seni Kluang yang dibuka pada Februari tahun lepas itu telah menerima kunjungan lebih 2,000 pelancong tempatan dan luar negara termasuk dari Singapura dan Indonesia.

    “Selain berkarya di Rumah Seni Kluang, Laman Seni dan Laman Pesona Kluang di sini, saya juga aktif melukis mural di beberapa daerah lain seperti Mersing, Tangkak dan Batu Pahat.

    “Saya semakin aktif menghasilkan mural selepas mendapat galakan daripada rakan-rakan yang menyokong perjalanan seni ini sekali gus menjadikan saya lebih bersemangat menghasilkan mural pada masa akan datang,” katanya.

    Zulkefli turut berterima kasih kepada pihak Tourism Malaysia Wilayah Selatan kerana telah memasukkan Rumah Seni Kluang itu sebagai satu tarikan dan lokasi yang perlu dikunjungi ke daerah tersebut. – Bernama

    Antara mural menarik yang dipamerkan di galeri seni, Rumah Seni@Kluang. – Bernama
    Salah seorang pengunjung bergambar pada salah sebuah mural yang dilukis di galeri seni berkenaan. – Bernama
    Zulkefli Dahlan menunjukkan lukisan mural yang dihasilkan berlatar belakangkan Kampung Palembang, sebuah lokasi daerah Kluang. – Bernama
    Seorang kanak-kanak memanfaatkan musim cuti sekolah dengan mengunjungi galeri seni, Rumah Seni@Kluang. – Bernama
    Antara mural menarik yang dipamerkan di galeri seni, Rumah Seni@Kluang. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda