Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JULAI – Dalam usaha meningkatkan kesedaran akan peri pentingnya menabung dalam kalangan belia, Autoriti Monetari Negara Brunei Darussalam (AMBD) dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Kementerian Pendidikan, Junior Achievement (JA) dan beberapa buah lagi institusi kewangan telah menganjurkan Jerayawara Kesedaran Kewangan di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), hari ini.
Jerayawara yang diadakan bersempena Hari Menabung Kebangsaan 2019 tersebut merupakan salah satu inisiatif AMBD bagi membangun generasi yang celik kewangan selaras dengan matlamat Wawasan Brunei 2035 untuk mencapai ekonomi yang dinamik dan mampan serta melahirkan rakyat dan penduduk yang berkemahiran tinggi.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis pada jerayawara pagi tadi ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid @ Haji Sabli bin Haji Arshad dan Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon yang juga merupakan penghulu Mukim Berakas ‘B’.
Juga hadir pada majlis berkenaan ialah Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal serta para pegawai kanan dari AMBD, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, dan Kementerian Pendidikan.
Jerayawara berkenaan telah dihadiri lebih 100 orang pelajar dari UNISSA dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) yang berpeluang untuk menyertai beberapa aktiviti interaktif bertemakan pengurusan kewangan.
Pelbagai aktiviti yang telah disediakan oleh pihak AMBD, Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), Tabung Amanah Pekerja (TAP), Pusat Perbankan, Kewangan dan Pengurusan Islam (CIBFM), Persatuan Perancangan Kewangan (FPAB), JA dan institusi-institusi kewangan lain.
Jerayawara seumpamanya akan diteruskan lagi di Kolej Perdagangan Laksamana esok, Kolej Pengajian Siswazah Antarabangsa (KIGS) pada 31 Julai, Universiti Teknologi Brunei pada 1 Ogos dan Universiti Brunei Darussalam pada 5 Ogos depan.
Manakala itu, acara kemuncak bagi Hari Menabung Kebangsaan 2019 ialah Pesta Ria Kewangan yang akan berlangsung pada 17 dan 18 Ogos depan di Jerudong Park Colonnade yang akan menyediakan bermacam-macam program serta aktiviti menarik bagi seisi keluarga.
Bagi orang ramai yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Hari Menabung Kebangsaan 2019 bolehlah melayari laman sesawang AMBD di alamat www.ambd.gov.bn atau melalui aplikasi mudah alih AMBD yang boleh dimuat turun menerusi ‘App Store’ dan ‘Google Playstore’ atau mengikuti akaun Instagram mereka di @autoriti_monetari.
