Thursday, September 19, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bangun kapasiti pegawai i-Ready

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MAC – Wawasan Brunei 2035 membawa visi yang jelas untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara yang berwawasan, berdaya saing dan berakhlak mulia.

    Salah satu elemen penting dalam mencapai wawasan berkenaan adalah melalui pembangunan ekonomi yang kukuh dan berdaya tahan.

    Dalam hubungan itu, Program i-Usahawan Startup673 Fasa 1 – MOH Edition adalah salah satu usaha strategik kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan dalam menggerakkan ekosistem keusahawanan dan mewujudkan peluang ekonomi khususnya bagi pegawai-pegawai i-Ready.

    Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam ucapannya semasa Majlis Penutup Program i-Usahawan Startup673 Fasa 1 – MOH Edition yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.

    Beliau menyatakan bahawa program itu merupakan satu inisiatif bersama Kementerian Kesihatan dengan pihak Darussalam Enterprise (DARe), Shell LiveWIRE Brunei, AITI dan Makmal Inovasi Brunei (BIL) untuk membangun kapasiti dan kemahiran pegawai-pegawai

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menyampaikan ucapan di majlis berkenaan, kelmarin. – GAMBAR OLEH JAMES KON
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham diberikan penerangan mengenai projek yang dilaksanakan oleh kumpulan peserta program. – GAMBAR OLEH JAMES KON

    i-Ready di mana ia dihasratkan supaya dapat merangsang inovasi serta mencetus kreativiti melalui kemahiran keusahawanan yang dapat diguna pakai dan diceburi setelah menamatkan program i-Ready di Kementerian Kesihatan.

    Usaha itu juga dapat mendukung hasrat negara bagi mempelbagaikan dan menjana pertumbuhan ekonomi melalui bidang keusahawanan.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham seterusnya menyatakan harapan agar program itu dapat dijadikan sebagai nilai tambah kemahiran untuk persediaan setelah menamatkan program i-Ready di Kementerian Kesihatan nanti.

    “Pengetahuan yang diperolehi di Kementerian Kesihatan dan pengetahuan asas dalam bidang perniagaan diharap akan meningkatkan marketability dalam pencarian pekerjaan sama ada di pihak kerajaan, swasta, atau sebagai persediaan bagi yang berminat untuk menceburi bidang perniagaan di masa akan datang,” tambahnya.

    Beliau berkata paada masa ini, terdapat banyak peluang perniagaan yang boleh dibuat oleh lepasan-lepasan i-Ready.

    “Sebagai contoh, mereka yang berkemahiran dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi mungkin dapat memulakan perniagaan bagi menyediakan perkhidmatan pembangunan aplikasi, perisian atau penyelenggaraan rangkaian,” ujarnya.

    Beliau berkata, dengan pertumbuhan e-dagang, mereka boleh memulakan perniagaan dalam talian seperti kedai dalam talian, pasaran dalam talian atau perkhidmatan penghantaran.

    Dalam hubungan itu, beliau menyeru semua pegawai i-Ready yang akan tamat perkhidmatan untuk memberanikan diri untuk menceburi bidang perniagaan meskipun secara kecil-kecilan.

    “Apa yang dapat kita lihat pada masa ini banyak peniaga yang kini berjaya bermula dari perniagaan yang kecil-kecilan terlebih dahulu,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda