Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MAC – Pusat Perkembangan Kanak-kanak (CDC) telah membuat pemantauan dan kajian yang sama dalam pertambahan masalah perkembangan dalam kalangan kanak-kanak di Negara Brunei Darussalam.
Pada 2010, jumlah kanak-kanak yang dirujuk ke CDC ialah kira-kira 400 orang manakala pada 2020, jumlah berkenaan telah meningkat kepada 766 orang kanak-kanak.
Sementara itu, pada 2011 pula, terdapat hanya 36 kes autisme yang baharu dan jumlah kes berkenaan meningkat kepada 218 kes pada 2020.
“Ini telah menunjukkan peningkatan enam kali ganda daripada 10 tahun yang lalu. Setakat awal bulan Mac 2021 ini sahaja, pusat ini telah mendiagnos seramai 38 kes autisme yang baharu.”
Perangkaan itu dikongsi oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar ketika berucap pada Perasmian CDC, Kampung Kiarong, kelmarin.

Beliau berkata bahawa secara kese-luruhan, sejak 20 tahun yang lalu, jumlah kanak-kanak yang pernah atau pun masih menerima rawatan di CDC adalah melebihi 7,000 orang.
Daripada jumlah itu, jelasnya, seramai 2,300 orang kanak-kanak mengalami autisme, 430 orang kanak-kanak mengalami palsi serebral, 400 orang kanak-kanak mengalami Sindrom Down, 200 orang kanak-kanak mengalami kes kurang pendengaran dan selebihnya mengalami kes-kes yang lain.
“Oleh yang demikian, Negara Brunei Darussalam perlulah lebih memfokuskan bukan sahaja kepada survival kanak-kanak atau pengurangan kadar kematian atau mortaliti sahaja, bahkan kepada memastikan perkembangan kanak-kanak yang optimum dan kualiti kehidupan yang terbaik, yang mana ini akan memastikan kualiti kehidupan generasi pada masa akan datang selaras dengan pencapaian Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) dan wawasan 2035 Negara Brunei Darussalam,” tekannya.
Yang Berhormat Dato seterusnya berkata bahawa pada dasarnya, perkembangan kanak-kanak adalah suatu yang sebenarnya bermula daripada jangka masa sebelum konsepsi atau pre-conception period hinggalah pada tahun-tahun pertama kehidupan kanak-kanak.
Perkembangan otak yang berlaku dengan cepat adalah berkait dengan perkembangan kognitif dan sosioemosi kanak-kanak.
Jangka masa itu, merupakan masa yang paling baik untuk dimanfaatkan dalam merubah developmental outcome untuk setiap kanak-kanak dan walau bagaimanapun, jangka masa itu juga merupakan kritikal dalam perkembangan otak kanak-kanak yang mana faktor luaran memainkan peranan yang penting.
“Tahap pengalaman negatif, adversity dan tekanan semasa zaman awal kehidupan kanak-kanak boleh meninggalkan kesan seumur hidup dari segi perkembangan kognitif dan sosioemosi mereka.
“Dengan mengetahui hal ini, ianya adalah sangat penting bagi kita untuk membuat langkah-langkah pencegahan masalah perkembangan dan memastikan semua kanak-kanak diberikan peluang untuk berkembang dengan sebaiknya,” jelas Yang Berhormat Dato.
Oleh yang demikian, ulas beliau lagi, dengan tertubuhnya pusat perkembangan yang baharu itu, Kementerian Kesihatan berharap ia akan dapat menyediakan perkhidmatan bagi menyokong perkembangan kanak-kanak dengan lebih efisien dan efektif.
Majlis diteruskan dengan perasmian Bangunan CDC dengan pemotongan reben dan penandatanganan plak oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham serta diikuti dengan penyampaian sijil penghargaan kepada syarikat-syarikat dan individu yang telah memberikan sumbangan bagi projek pembinaan bangunan itu.
Setelah sesi bergambar ramai, Yang Berhormat Dato dan para jemputan menanam pokok dan melawat banglo-banglo, yang mana lima buah banglo telah dibina.
Projek pembinaan bangunan khusus bagi CDC itu, bermula pada 7 Disember 2019 dan bernilai kira-kira $1.2 juta di mana projek itu telah siap dibina pada penghujung 2020.
Pembinaan bangunan khas bagi CDC bertujuan untuk memberikan perkhidmatan yang komprehensif, bermula daripada pencegahan, pengesanan awal, intervensi awal dan perawatan holistik yang merangkumi semua aspek kehidupan kanak-kanak yang berkeperluan khas termasuk pendidikan dan kesejahteraan sosial.