Tuesday, April 22, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bangunan empat tingkat runtuh ragut 11 nyawa

    NEW DELHI, 20 APRIL – Sekurang-kurangnya 11 orang, termasuk tiga kanak-kanak, maut di New Delhi kelmarin selepas sebuah bangunan kediaman runtuh di pinggir ibu negara India, menurut laporan tempatan dan pihak berkuasa.

    Kejadian itu berlaku pada awal pagi di daerah timur laut bandar yang kebanyakannya didiami oleh pekerja migran, dengan pasukan penyelamat menggali runtuhan sepanjang hari bagi mencari mangsa.

    Sebelas orang disahkan meninggal dunia, lapor saluran NDTV, manakala 11 lagi berjaya diselamatkan dan dihantar ke hospital. Lima daripada mereka masih menjalani rawatan, menurut laporan itu.

    Perdana Menteri India, Narendra Modi, menyatakan rasa sedih atas kehilangan nyawa dalam kejadian tersebut.

    “Takziah kepada mereka yang kehilangan insan tersayang,” kata pejabat Modi dalam satu hantaran di X. “Semoga yang cedera cepat sembuh.”

    Gambar Freepik

    Presiden India, Droupadi Murmu, yang tinggal di kediaman rasminya kira-kira 20 kilometer dari lokasi kejadian, berkata bahawa “kematian ramai mangsa termasuk wanita dan kanak-kanak adalah amat menyedihkan.”

    Parti pemerintah Modi, Bharatiya Janata Party (BJP), baru-baru ini memenangi pilihan raya negeri Delhi buat pertama kali dalam tempoh hampir tiga dekad.

    Punca runtuhan masih belum diketahui setakat ini.

    Menteri Delhi, Kapil Mishra, menyalahkan rasuah dalam pentadbiran perbandaran yang dikendalikan oleh parti politik lawan atas kejadian bangunan runtuh seperti ini. Dalam hantaran di X, beliau berkata, “Pembinaan bangunan haram seperti ini sedang berjalan tanpa kawalan.”

    “Kajian terhadap semua bangunan haram ini adalah perlu, dan tindakan tegas mesti diambil terhadap mereka,” tambahnya.

    Laporan media tempatan menyatakan bahawa bangunan empat tingkat itu runtuh seperti timbunan kad.

    Kejadian bangunan runtuh sering berlaku di India, dan struktur haram – yang sering menjadi tempat tinggal pekerja migran – adalah perkara biasa di bandar-bandar besar. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda