Sabtu, 22 November 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bangunan lama diusahakan jadi hotel

    KUALA LUMPUR, 15 JULAI – Dalam sesebuah kawasan, adakala terselit premis-premis usang tidak berpenghuni, dimamah usia dan kelihatan kotor kepada landskap sesebuah pekan atau kampung. Bangunan-bangunan sebegini bukan sahaja mencacatkan pemandangan tetapi ada juga yang dijadikan tempat aktiviti jenayah dan kegiatan tidak bermoral.

    Namun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ada inisiatif pihak-pihak tertentu yang mengangkat semula premis sedemikian menjadi tarikan umum menerusi konsep repurpose atau penggunaan semula dengan tujuan baharu.

    Dengan konsep begini, lazimnya struktur asal bangunan dikekalkan, sekali gus memberikan keunikan kepada premis yang dijadikan antaranya menjadi  kafe, restoran malah hotel. 

    Bagi Muhammad Zairee Izwan Zahir (Zairee), usaha bapanya menukarkan sebuah kuarters polis di Sungai Petani, Kedah yang terbiar bertahun-tahun lamanya menjadi sebuah hotel adalah satu keputusan tepat. 

    Muhammad Zairee Izwan Zahir (tengah) yang juga Pengarah Urusan Zaque’s Hotel. – Bernama

    Dikenali sebagai Zaque’s Hotel, kini hotel bertaraf tiga bintang itu menjadi antara lokasi penginapan pilihan pelanggan, terutamanya mereka yang datang dari luar daerah tersebut.

    “Idea untuk mentransformasikan berek polis ini merupakan idea arwah ayah, Zahir Yahya, pada 2016. Ayah yang merupakan seorang kontraktor, nampak potensi empat blok bangunan empat tingkat tersebut. Alhamdullilah, ayah berjaya ambil alih tanah berserta bangunan tersebut secara pajakan daripada agensi berkaitan. Pada waktu itu kami semua tidak tahu perancangan ayah untuk mendirikan hotel,’’ katanya kepada Bernama.

    Zairee berkata pada mulanya, mereka kurang yakin dengan perancangan ayah  untuk menukarkan kuarters itu menjadi hotel berikutan keadaan bangunan yang dilihat sangat usang.

    “Bayangkan, dinding bangunan diselimuti debu dan lumut. Jeriji tingkap berkarat selain ada bahagian dinding yang hampir roboh. Bangunan juga terletak di lokasi yang agak sunyi,” ceritanya.

    Zaque’s Hotel dibangunkan dari bangunan kuaters polis yang terbiar. – Bernama

    Menurut Zairee yang juga Pengarah Urusan Zaque’s Hotel, keadaan itu bagaimanapun tidak mematahkan semangat bapanya yang mengeluarkan modal sendiri dan menggunakan kemahiran sebagai kontraktor untuk membaik pulih bangunan tersebut secara beransur-ansur.

    “Usaha membaik pulih dan mengubah suai dalaman kuarters ini mengambil masa empat tahun dan siap sepenuhnya pada penghujung 2019. Kami mula beroperasi pada tahun yang sama,” katanya.

    Beliau berkata mereka juga mengekalkan struktur dan bentuk asal bangunan agar identiti kuarters polis itu tidak hilang. 

    “Untuk bilik penginapan dan juga beberapa bahagian dalaman lain, ayah lakukan ubah suai berdasarkan ideanya sendiri. Setelah ayah meninggal dunia pada 2020, kami adik-beradik  mengambil alih pengurusan hotel meliputi keseluruhan operasi termasuk bahagian dapur. Kami sendiri tentukan menu yang akan disajikan kepada tetamu hotel,” kata anak sulung daripada tiga beradik itu.

    Zaque’s Hotel menawarkan kamar dengan reka bentuk moden dan minimalis. – Bernama

    Mengulas lanjut, usahawan berusia 28 tahun itu berkata operasi hotel yang pada awalnya hanya menawarkan penginapan kepada pengunjung, kemudian diperluaskan kepada perkhidmatan lain termasuk sebagai lokasi acara seperti majlis perkahwinan dan lain-lain.

    “Selain menawarkan 30 bilik dan 45 unit penginapan berkonsepkan pangsapuri, kami turut menganjurkan majlis perkahwinan, majlis berbuka puasa, sambutan hari jadi dan turut dijadikan lokasi untuk mesyuarat oleh agensi kerajaan di sini,” katanya.

    Zaque’s Hote menawarkan penginapan konsep pangsapuri. – Bernama

    Menurut Zairee, keputusan mereka mempelbagaikan perkhidmatan tersebut menjadikan kawasan seluas 1,507 meter persegi itu yang sebelum ini suram, bertukar meriah dengan kehadiran pengunjung serta tetamu hotel.

    “Daripada maklum balas pelanggan, hotel ini memiliki penarafan tinggi dan antara hotel yang menganjurkan paling banyak majlis di Sungai Petani ini. Selain mengetengahkan konsep moden dan minimalis untuk kamar penginapan, kami juga percaya Zaque’s Hotel menjadi pilihan kerana terletak berhampiran pusat bandar Sungai Petani,’’ katanya.

    Setelah hampir lima tahun menguruskan hotel itu, Zairee berkata matanya kini ‘terbuka’ dan menyedari bangunan lama masih boleh ‘berbakti’ jika kena dengan caranya.  

    “Saya melihat bangunan lama bukan lagi struktur usang semata-mata, sebaliknya mampu menjadi pelaburan yang membawa pulangan lumayan,” kata beliau.

    Sehubungan itu, beliau berpendapat  tidak semua bangunan usang dan terbiar perlu dirobohkan, sebaliknya jika dimanfaatkan semula bangunan tersebut mampu menjadi lubuk rezeki kepada pengusaha. 

    “Saya sendiri sebenarnya tidak pasti adakah mengubah suai premis lama ini satu keputusan bijak. Ternyata arwah ayah tidak salah percaturan kerana hotel ini sekarang telah menjadi lubuk rezeki buat saya dan keluarga.

    “Dari kawasan yang pada awalnya suram dan sunyi, lokasi ini akhirnya menjadi tumpuan. Bagi saya, jika kita kreatif dan pandai manfaatkan barang lama, ia pasti akan berguna dan boleh memberikan keuntungan kelak,” tambahnya yang turut mempunyai perancangan membina kolam renang sebagai tarikan tambahan kepada pengunjung hotel berkenaan. – Bernama

    Dari kawasan yang pada awalnya suram dan sunyi, kini menjadi tumpuan orang ramai. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda