DUBAI, 27 JUN – Kebakaran melanda sebuah bangunan kediaman bertingkat tinggi di Emiriah Arab Bersatu awal hari ini sebelum api berjaya dipadamkan, menurut video yang tersebar dalam talian.
Tiada laporan segera mengenai kecederaan akibat kebakaran di Ajman, salah satu daripada tujuh emirah yang membentuk Emiriah Arab Bersatu (UAE), yang juga termasuk bandar futuristik Dubai dan Abu Dhabi. Rakaman itu menunjukkan sudut bangunan itu dijilat api dari aras tanah ke atas, dengan serpihan jatuh ke jalan.
Ajman News, agensi media tempatan, kemudian melaporkan bahawa kebakaran telah dapat dikawal. Rakaman di Instagram menunjukkan bahagian luar bangunan yang menghitam dan anggota bomba di jalan.
Tiada komen segera daripada pegawai UAE.UAE telah menyaksikan beberapa kebakaran serupa dalam beberapa tahun kebelakangan ini yang dikaitkan dengan pelapisan mudah terbakar di kebanyakan bangunan tinggi di negara itu.
Pada Malam Tahun Baharu 2015 lalu, kebakaran melanda sebuah hotel mewah dan kompleks kediaman berhampiran Burj Khalifa di Dubai, bangunan pencakar langit tertinggi di dunia. – AP
