Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 NOV- Bangunan Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC) iaitu sebuah hartanah di bawah Bandtree Sdn Bhd, melakar sejarah penting apabila ia menjadi projek pertama di Negara Brunei Darussalam untuk mencapai tahap tertinggi prestasi alam sekitar, menerusi penganugerahan Pengiktirafan Platinum rated Green Mark.
Pencapaian itu diterima pada 19 Januari 2023 daripada Building and Construction Authority (BCA), Singapura dengan pencapaian bersejarah berkenaan diraikan dalam Majlis Mengetengahkan Persijilan Green Mark (Tanda Hijau) bagi PJSC yang berlangsung di PJSC, Jerudong, hari ini.
Hadir di majlis berkenaan ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam kapasitinya selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Pantai Jerudong Specialist Centre, Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi, Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani dalam kapasitinya selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Bandtree Sdn Bhd dan Ketua Pegawai Eksekutif Bandtree Sdn Bhd, Awang Muhd Syukri Nur bin Haji Mohd Jais.
Dalam kata alu-aluannya, Awang Muhd Syukri Nur menyatakan bahawa Green Mark merupakan sistem rating BCA untuk menilai kemesraan alam aset infrastruktur dan memberikan pengiktirafan kepada projek-projek yang mengguna pakai langkah serta strategi kemampanan alam sekitar.
Ia menyediakan rangka kerja komprehensif bagi penilaian keseluruhan prestasi alam semula jadi bangunan-bangunan baharu dan sedia ada untuk mempromosikan rekaan mampan serta amalan terbaik dan operasi dan pembinaan bangunan.

Ikuti berita lanjut di Media Permata keluaran Sabtu.