AHLI arkeologi telah menemui sebuah bangunan kuno ‘besar’ di bandar Mesir Mit Rahina, 12 batu (20km) di selatan Kaherah.
Bangunan yang menempatkan ruang mandi bercirikan identiti Rom dan satu ruang yang mungkin digunakan untuk upacara keagamaan juga terdapat di tapak tersebut.
Kawasan ini pernah menjadi sebahagian daripada ibu kota Mesir purba Memphis dan kedua-dua bangunan itu mungkin menjadi sebahagian daripada blok kediaman di dalam kota metropolis tersebut.
Memphis, yang diasaskan sekitar 3,100SM, adalah rumah bagi Menes, raja yang menyatukan Mesir di bahagian atas dan bawah.
Ketua Majlis Tertinggi Antikuiti Mesir, Mostafa Waziri mengumumkan penemuan itu.




Beliau berkata: “Bangunan itu dibina daripada blok batu bata yang dikukuhkan lagi dengan bahan batu kapur besar, dinding luar dan tangga dalaman yang dibina dengan acuan bata berwarna merah.”
Tapak ini meliputi kawasan sekitar 55×47 kaki (17×14.5 meter) dan ditemui hanya 1,300 kaki (400m) di utara Muzium Mit Rahina.
Bangunan besar ini mempunyai pintu masuk di bahagian timur yang dibuat dari batu kapur, dengan pintu masuk kedua menuju ke sebuah dewan kecil.
Sebuah bilik yang bersambung dengan bahagian luaran bangunan itu mungkin digunakan oleh pelayan dan ditemui di sudut timur laut bangunan tersebut. Di ruangan bilik ini ditemui ketuhar yang sama seperti yang digunakan di kampung-kampung moden di Mesir.
Bangunan kedua pula menempatkan sebuah ruangan mandi dan bilik kecil yang dipercayai ahli arkeologi digunakan sebagai upacara keagamaan.
Mereka berkata kewujudan dewan itu membuktikan terdapat penduduk di kompleks itu.
Turut ditemui di bilik ini ialah beberapa artifak yang dipercayai pernah digunakan oleh para pelayan.
Mesir berharap penemuan sedemikian akan memacu sektor pelancongan, sebahagiannya didorong oleh penemuan artifak zaman kuno.