SYDNEY, 25 MEI – Kebakaran besar berlaku di sebuah bangunan tujuh tingkat di pinggir bandar Surry Hill di tengah Sydney pada petang tadi, lapor Xinhua.
Sekurang-kurangnya 50 orang dipindahkan dalam kebakaran yang berlaku di Randle Street berhampiran Stesen Sentral, menurut media tempatan.
Bomba dan Penyelamat New South Wales (NSW) berkata pasukan itu menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 4 petang waktu tempatan.
Lebih 100 anggota bomba dan 20 trak bomba sedang berusaha untuk mengawal dan memadamkan kebakaran.
“Kami sedang mengawal kebakaran namun api masih marak,” kata superintenden bomba dan penyelamat NSW, Adam Dewberry kepada AFP, dan menjelaskan bahawa ‘runtuhan struktur yang signifikan’ membuatkannya terlalu bahaya untuk anggota bomba memasuki bangunan tersebut.
Kebakaran itu turut menyebabkan bangunan itu runtuh dan api merebak ke beberapa buah bangunan berdekatan termasuk pangsapuri.
Sekurang-kurangnya sebuah kenderaan di kawasan itu musnah dalam kebakaran tersebut.
Kebakaran bermula di aras tiga bangunan itu, lapor ABC News memetik kenyataan Penguasa Bomba dan Penyelamat NSW, Adam Dewberry.
Kebakaran itu turut menyebabkan kesesakan berikutan penutupan jalan-jalan utama di sekitar Randle Street dan perkhidmatan rel aliran ringan juga tergendala.
Seorang anggota bomba dilaporkan mengalami lecur kecil di tangan kanan namun tidak memerlukan rawatan di hospital, menurut pihak bomba. – Bernama/AFP