DAKAR, 27 MEI – Kira-kira 11 orang terbunuh dan tujuh lagi cedera apabila sebuah bangunan tiga tingkat runtuh di bandar Touba kedua terbesar di Senegal, kata anggota bomba semalam.
Bangunan itu masih dalam pembinaan apabila ia runtuh Ahad lalu, lapor media tempatan.
Pengarah pembinaan negara itu, Moussa Tine menyalahkan ketidakpatuhan piawaian pembinaan sebagai punca keruntuhan itu dalam satu kenyataan kepada akhbar tempatan.
Touba, yang terletak di tengah Senegal, adalah ibu kota persaudaraan muslim Mouride, salah satu yang paling penting di negara Afrika Barat.
Mengalami pertumbuhan demografi dan ekonomi besar-besaran, seperti ibu negara Dakar, Touba juga mencatat ledakan dalam sektor pembinaan.
Bagaimanapun, kebanyakan pertumbuhan itu tidak menentu dengan beberapa bangunan tidak mempunyai kebenaran rasmi. Kejadian bangunan runtuh adalah perkara biasa di Senegal dan selalunya disebabkan oleh ketidakpatuhan piawaian pembinaan, kata pakar.
Pada awal Mei, dua orang terbunuh dalam runtuhan bangunan di Dakar. Pada Januari 2024, kejadian serupa juga berlaku menyebabkan tujuh orang maut.
Pada Julai 2023, dua bangunan dalam pembinaan runtuh di negara jiran Guinea, mengorbankan lima orang. – AFP


