IBB, YAMAN – Selama enam tahun berturut-turut, para pelajar di sekolah Shuhada-Alwahdah di wilayah Ibb, di barat Yaman, mereka harus memulakan semester baharu di bawah ‘runtuhan bangunan’.
Satu-satunya bangunan sekolah itu terkena serangan udara pada tahun 2015. Separuh dari bangunan itu runtuh, dengan separuh lagi condong. Enam tahun kemudian, tiada perubahan. Bangunannya tetap hampir sama, mungkin lebih teruk, sama seperti pada hari ia dibom.
Pada setiap hari persekolahan, para pelajar perlu memanjat melalui lubang di dinding yang pecah dan tempat berpijak yang tidak teguh untuk sampai ke kelas mereka, yang tidak mempunyai sebarang perbezaan dengan sebuah gua. Tidak ada tingkap, pintu, kerusi, atau meja. Pelajar mesti bersesak dan bercangkung di tanah konkrit semasa kelas berjalan.
Tetapi mereka masih menganggap diri mereka yang bertuah. Lebih dari dua juta kanak-kanak pada usia sekolah sekarang tidak bersekolah kerana kemiskinan, konflik dan kekurangan peluang mengganggu pendidikan mereka, menurut laporan baru-baru ini yang dikeluarkan oleh Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).
Amjad al-Riashi, 13, merupakan salah seorang pelajar di sekolah Shuhada. Dia berkata gemar pergi ke sekolah dan belajar tidak dapat dilemahkan oleh runtuhan bangunan dan bumbung yang condong.
“Menghancurkan sekolah kami tidak menghentikan minta terhadap pendidikan tetapi membuat saya bertekad untuk belajar bersungguh-sungguh,” kata al-Riashi, dan menambah bahawa ramai rakan sekelasnya berkongsi pendapat yang sama.
“Pendidikan, bagi kami, adalah satu keistimewaan. Kami harus memanfaatkannya dengan sebaik mungkin,” kata remaja itu.
Arif al-Shami, pengetua sekolah itu berkata tiada kehadiran tentera di sekolah tersebut ketika ia dibom. Selama bertahun-tahun, ribuan sekolah hancur dan terbengkalai akibat perang saudara yang berlanjutan.
Shami berkata dia berusaha mencari dana selama enam tahun untuk membina semula sekolah itu tetapi tidak berhasil. Yang lebih teruk lagi, sekolah itu turut bergelut untuk mendapatkan wang yang mencukupi bagi perbelanjaan harian, seperti buku teks, elektrik, dan juga gaji guru.
Pengetua tersebut berkata bahawa guru-guru tidak menerima gaji mereka selama bertahun-tahun, dan banyak daripada mereka terpaksa berhenti untuk mencari pekerjaan lain yang dapat untuk menyara keluarga.
“Kami meminta pertubuhan kemanusiaan untuk membantu kami mengubahsuai sekolah, membina semula bangunan dan menyediakan buku teks kepada para pelajar,” kata Shami, sambil menambah sekolah tidak dapat beroperasi lama jika tidak ada bantuan yang datang.
Menurut laporan UNICEF, agensi PBB berkata bahawa dua pertiga guru di Yaman tidak menerima gaji tetap dalam lebih dari empat tahun, yang ‘menyebabkan sekitar empat juta kanak-kanak tercicir daripada pendidikan kerana guru berhenti demi mencari sumber kewangan lain bagi menyara keluarga mereka.” – Xinhua