Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 FEB – Bagi menampung lebih ramai jemaah di Masjid Kampung Sungai Buloh, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah melaksanakan projek tambahan bangunan masjid berkenaan dengan kos $870,286.70 daripada Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam.
Projek yang bermula pada 23 Mei 2022 itu sedang dalam perlaksanaan dan hampir siap pembinaannya.
Sehubungan itu, acara menyertu bagi bangunan tambahan masjid berkenaan telah diadakan kelmarin.
Hadir sama pada acara tersebut ialah Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, KHEU, Haji Amir Hisham bin Haji Masri. Kapasiti bangunan tambahan Masjid Kampung Sungai Buloh itu boleh menampung seramai lebih kurang 400 orang jemaah.
Menurut KHEU, masjid berkenaan mula digunakan semula hari ini setelah ditutup sementara selama dua bulan bermula 23 Disember 2023 bagi pelaksanaan kerja-kerja yang melibatkan bangunan asal masjid berkenaan.
Antara lain kemudahan yang turut dibina adalah tempat penyempurnaan jenazah dan kemudahan bagi orang berkeperluan khas.
Dengan adanya bangunan tambahan masjid itu nanti, dapatlah menampung keramaian jemaah bagi menunaikan sembahyang Fardu Jumaat dan sembahyang Sunat Hari Raya serta kegiatan takmir masjid.
Turut hadir bagi sama-sama menyertu bangunan tambahan masjid berkenaan ialah Ketua Bahagian Bangunan dan Pemeliharaan, KHEU, Haji Azmi bin Haji Tahir, para pegawai dan kakitangan Jabatan Hal Ehwal Masjid, Jabatan Kerja Raya dan ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Sungai Buloh.