JOHANNESBURG, 31 OGOS – Kebakaran yang melanda sebuah bangunan lima tingkat yang diambil alih untuk dijadikan sebagai perumahan haram telah mengorbankan lebih 70 orang termasuk kanak-kanak di tengah Johannesburg hari ini, kata perkhidmatan kecemasan bandar Afrika Selatan itu.
Seramai 52 lagi cedera dalam apa yang berpotensi menjadi salah satu kebakaran paling teruk di seluruh dunia dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Mayat-mayat ditemui bertimbun di sebuah pintu pagar keselamatan yang tertutup, menghalang orang ramai daripada menyelamatkan diri, kata seorang pegawai.
Pihak berkuasa bandar berkata bangunan di kawasan yang dibelenggu jenayah dan kemiskinan itu telah bertukar menjadi perumahan haram selepas ditinggalkan.
Kebanyakan orang yang tinggal di sana adalah warga asing, kata seorang penduduk.
“Kami kini mempunyai 73 kematian dan 52 orang cedera yang telah dibawa ke pelbagai fasiliti penjagaan kesihatan untuk rawatan perubatan lanjut,” kata jurucakap Perkhidmatan Pengurusan Kecemasan, Robert Mulaudzi.
Sekurang-kurangnya tujuh kanak-kanak adalah antara yang terkorban dalam kebakaran itu, dengan yang paling muda berumur bawah dua tahun, katanya. Ada yang terbakar sehingga tidak dapat dikenalpasti.
“Saya bersyukur kerana masih hidup, terdapat ramai daripada kami yang berlari, cuba mencari pintu kecemasan dan ramai orang akhirnya meninggal dunia kerana terhidu asap,” kata Kenny Bupe, seorang mangsa yang terselamat dalam kebakaran tersebut. – AFP