Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JULAI – Dalam landskap perakaunan, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah menubuhkan Brunei Darussalam Accounting Standards Council (BDASC) dan Public Accountants Oversight Committee (PAOC) untuk meningkatkan lagi kualiti laporan kewangan dan juga status kerjaya perakaunan di Negara Brunei Darussalam.
BDASC bertanggungjawab dalam menetapkan standard atau piawaian perakaunan untuk diterima pakai oleh syarikat-syarikat di Negara Brunei Darussalam bagi menyediakan penyata kewangan.
Berkuat kuasa 1 Januari 2014, piawaian atau standard yang diterima pakai di Negara Brunei Darussalam adalah International Financial Reporting Standards (IFRS) bagi entiti kepentingan awam iaitu bank-bank, institusi-institusi kewangan dan syarikat-syarikat insurans serta takaful.
Sementara itu, berkuat kuasa dari 1 Januari 2018, Brunei Darussalam Accounting Standards (BDAS) telah diterima pakai oleh entiti-entiti lain yang bukan berkepentingan awam.
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, selaku pengerusi Majlis Perancangan Tenaga Kerja dan Pekerjaan (MPEC) ketika berucap pada perasmian Program SPIN dalam Perakaunan yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan JPM, hari ini.

Menurutnya lagi, PAOC pula memikul tanggungjawab untuk membantu Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam mengawal selia akauntan awam dan entiti-entiti perakaunan, memastikan kepatuhan dengan piawaian antarabangsa serta Kod Etika.
Dalam hubungan itu, harus terdapat lebih banyak penekanan mengenai keperluan bagi perakaunan untuk dikenali sebagai sebuah kerjaya yang menawarkan kerjaya menarik, memberangsangkan dan bermakna dengan peluang-peluang untuk berkembang dalam dunia perniagaan yang menjadi semakin kompleks.
Beliau menekankan bahawa amat penting untuk membangunkan bakat dalam bidang berkenaan dan dengan perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Program SPIN dalam Perakaunan diperkenalkan dengan matlamat untuk membangun dan meningkatkan lagi kumpulan bakat dalam sektor itu.
Selaras dengan visi MPEC, program itu dihasratkan untuk menyediakan warga tempatan dengan peluang-peluang untuk membangunkan lagi potensi mereka tanpa mengira permulaan masing-masing untuk mencapai sebuah kerjaya yang memberangsangkan.
Menurut Future Careers in Accountancy Report oleh ACCA pada 2020, lima peranan utama akauntan masa hadapan adalah sebagai penyokong jaminan di mana mereka harus memimpin organisasi-organisasi ke tahap baharu kepercayaan dan integriti, sebagai pengubah perniagaan yang boleh menerajui inisiatif-inisiatif perubahan perniagaan utama seperti merubah operasi kewangan, menjadi pengemudi data di mana mereka mampu untuk melihat pelbagai peluang dalam data dan untuk menggunakan peralatan analisis teknologi baharu untuk menyediakan pandangan terhadap prestasi perniagaan yang akan digunakan untuk membuat keputusan penting iaitu nadi bagi sebuah organisasi yang mampan serta dinamik.
Peranan utama akauntan masa hadapan yang lain lagi, ulas Yang Berhormat Dato ialah sebagai pengatur digital di mana mereka memahami akan ekonomi global masa hadapan dan melaksanakan transformasi digital yang merupakan kunci bagi mana-mana organisasi untuk berjaya serta sebagai perintis kemapanan di mana mereka memainkan peranan utama dalam menubuhkan rangka kerja dan aktiviti-aktiviti yang memperoleh serta memacu nilai.
Di samping itu, tambah Yang Berhormat Dato, mereka juga memahami bahawa penyelarasan mengejar keuntungan dengan mengejar tujuan adalah amat mustahak dalam membina perniagaan-perniagaan mampan masa hadapan.