Saturday, May 10, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bangunkan bakat yang ada

    Oleh Normazlina M.D

     

    TUTONG, 30 Okt – Jika berminat, lebih-lebih lagi mempunyai bakat jangan disia-siakan, hasilkan sesuatu yang membuat keuntungan kepada diri sendiri.

    Nasihat ini dikongsikan oleh pengusaha dandanan rambut Awang Nur Aliman bin Sungoh yang merupakan pemilik bersama Syarikat Greazy Monkey.

    Pemuda berusia 25 tahun itu juga berkata, bakat seorang tukang gunting tidak perlu disia-siakan, lebih-lebih lagi kerana minat.

    Beliau yang mempunyai minat dan bakat menggunting rambut mengikut trend masa kini, memulakan perniagaan secara bersendirian di rumahnya di Kampung Panchor Tutong pada tahun lepas yang mana pelanggan-pelanggannya terdiri daripada teman-temannya.

    Menurutnya, beliau mula berminat dalam bidang menggunting rambut sejak tahun lepas dan banyak belajar melalui Internet.

    (Dari kanan) Awang Nur Aliman, Albert Swee Poh Ann dan Mohd Izzat Izzuddin Zainalariffin di kedai gunting rambut Greazy Monkey.

    “Pada masa ini, belia-belia lebih suka melihat rambut yang kemas dan mengikut trend terkini. Walau bagaimanapun, untuk belajar menggunting rambut perlu ada rasa sabar dan teliti kerana ingin melihat kualiti yang terbaik untuk pelanggan-pelanggannya,” jelasnya.

    Atas minat yang sama, Awang Nur Aliman dan rakannya, Awang Mohd Syakirin bin Suhaimi berniat untuk membuka kedai gunting persendirian secara kongsi sama untuk kemudahan pelanggan-pelanggan yang sentiasa menyokong mereka.

    Dengan sokongan pihak kerajaan, beberapa agensi terlibat dan ibu bapa serta keluarga, pada awal Oktober ini, mereka berjaya membuka sebuah kedai gunting rambut dinamakan Greazy Monkey di Pekan Tutong.

    Awang Mohd Syakirin berkata, proses membuka kedai gunting berkenaan berjalan baik dan lancar yang mana mereka mendaftar dan memprosesnya pada tahun ini.

    Pada masa ini, kedai tersebut telah mempunyai empat orang tukang gunting yang terdiri daripada anak-anak muda tempatan berusia sekitar 24 tahun ke atas.

    Mereka ialah Awang Nur Aliman dan Awang Mohd Syakirin sendiri selain Awang Mohd Izzat Izzuddin Zainalariffin dan Albert Swee Poh Ann.

    Mereka berharap usaha sama yang dibuat bersama bakat-bakat tempatan dalam melahirkan tukang gunting yang profesional akan berkembang di negara ini dan menjadikan bakat dan minat itu sebagai manfaat dan keuntungan kepada mereka di samping dapat memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak muda di negara ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda