Saturday, May 10, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bangunkan kemahiran berucap pelajar

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MAC – Lima orang pelajar Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) telah menyertai pertandingan Public Speaking (Time to Talk!) bagi pelajar Program Sarjana Muda Perguruan Ugama dan Diploma Tertinggi Perguruan Ugama Tahun 3 anjuran KUPU SB melalui Pusat Bahasa, baru-baru ini.

    Dalam pertandingan tersebut yang berlangsung di Dewan Tarbiah, KUPU SB, juara disandang oleh Awang Mohammad Noor Fauzan Azizi bin Haji Mazne dari program Diploma Tertinggi Perguruan Ugama dengan tajuk Face Your Tests and Challenges with Perseverance.

    Manakala itu, tempat kedua dan ketiga masing-masing disandang oleh Dayangku Syahirah Hazeqah binti Pengiran Shahrel Anuar dari Program Diploma Tertinggi Perguruan dan Awang Mohammad Hisyammuddin bin Abdullah Azizulzabbar dan Program Diploma Tertinggi Perguruan Ugama dengan Awang Muhammad Aqiel Mustaqeem bin Haji Rosman dari Program Sarjana Muda Perguruan Ugama menerima hadiah sagu hati.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Raes KUPU SB, Profesor Madya Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani.

    Pengarah Pusat Bahasa KUPU SB, Dayang Nurul Azimah binti Haji Abdul Hamid dalam ucapan alu-aluannya selaku pengerusi majlis menjelaskan bahawa pertandingan yang dianjurkan buat julung kalinya itu bukan sahaja sekadar satu platform untuk meningkatkan kemahiran berkomunikasi, malah sebagai wadah bagi para peserta untuk mengekspresikan cinta dan dedikasi mereka terhadap agama Islam dan ajarannya.

    Melalui pertandingan berkenaan, tambah beliau, para peserta dapat memperkukuhkan lagi identiti Islam mereka sambil membangunkan kemahiran berucap yang penting dalam kehidupan bermasyarakat.

    Antara objektif utama pertandingan termasuk meningkatkan kemahiran berkomunikasi dan keberanian berucap di hadapan orang ramai serta meningkatkan kemampuan peserta dalam menyampaikan mesej yang jelas dan padat.

    Profesor Madya Dr Abdul Nasir menyampaikan hadiah kepada pemenang. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda