BEIJING, 3 MEI – Beijing sedang membangunkan kemudahan hospital baharu untuk menangani peningkatan kes COVID, meskipun jumlah kes baharu kekal rendah.
Media negara hari ini melaporkan 1,000 buah katil hospital di Xiaotangshan di pinggir timur laut dibina semasa penularan SARS 2003 telah diubah suai sekiranya ia diperlukan.
Laporan tidak rasmi dalam talian memberitahu ribuan katil disiapkan di pusat kuarantin berhampiran lapangan terbang, tetapi media negara tidak mengesahkan mengenai persiapan itu dalam apa yang dilihat sebagai percubaan untuk mengelak mencetuskan kebimbangan orang ramai.
Kes baharu di Beijing kekal stabil, dengan 62 lagi kes direkodkan kelmarin, 11 daripadanya tidak mempunyai gejala, sedikit meningkat daripada 50 kes sehari pada hujung minggu. Beijing melaporkan kira-kira 450 kes semasa penularan selama dua minggu.
China kekal dengan tindakan ‘sifar COVID’ tegasnya yang menyekat perjalanan, ujian besar-besaran di seluruh bandar dan mendirikan kemudahan sementara untuk mengasingkan setiap individu yang dijangkiti.
Perintah berkurung bermula dengan bangunan-bangunan dan kawasan kejiranan tetapi dilaratkan ke seluruh bandar jika virus merebak lebih luas.
Ia dilakukan ketika kebanyakan negara-negara cuba melonggarkan sekatan pandemik.
Pakar mempersoalkan keberkesanan dasar tegas China, berkata vaksin dan rawatan baharu untuk COVID membuatkan ia berlebihan dan tidak diperlukan. –AP