Sabtu, 22 November 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bangunkan pemimpin demi masa depan

    Oleh Sim Y. H.-

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OKT – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof menekankan pentingnya pembangunan kepimpinan dalam persekitaran hari ini yang tidak menentu, tidak stabil, rumit dan sentiasa berubah.

    Matlamat itu boleh dicapai melalui kerjasama awam dan tentera sebagai pendekatan One Ministerial ke arah mencapai pendekatan seluruh kerajaan dan seluruh negara seperti yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan 2021.

    Penekanan itu dibuat oleh Yang Berhormat Pehin dalam ucapannya pada Majlis Penutup Program Perkembangan Eksekutif bagi Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan (EDPSGO) dalam bidang Dasar Awam dan Pengurusan ke-18 yang berlangsung di Mes Pegawai, Bolkiah Garison, hari ini.

    Turut hadir ialah Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali; Pemangku Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), pesuruhjaya-pesuruhjaya tinggi Malaysia dan Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam, duta-duta besar istimewa dan mutlak Republik Indonesia, Republik Filipina, Republik Sosialis Vitenam dan Kesultanan Oman ke Negara Brunei Darussalam dan setiausaha-setiausaha tetap di JPM, Kementerian Pertahanan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pembangunan serta wakil-wakil daripada pihak berkepentingan yang berkaitan.

    Dalam ucapannya lagi, Yang Berhormat Pehin menggariskan kepentingan untuk terus membangunkan individu yang berkaliber tinggi, profesional, boleh dipercayai dan mahir dalam mengemudi kerumitan untuk memenuhi jangkaan masa depan.

    ATAS & BAWAH: Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi menyampaikan sijil
    kepada para peserta EDPSGO ke-18. – Gambar oleh Sim Y. H.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi menghadiri Majlis Penutup EDPSGO ke-18 yang berlangsung di Mes Pegawai, Bolkiah Garison, kelmarin. – Gambar oleh Sim Y. H.

    Beliau turut menegaskan bahawa Melayu Islam Beraja (MIB) kekal terus berperanan sebagai falsafah negara yang membimbing setiap keputusan bagi memastikan identiti negara yang unik terus terpelihara.

    Dengan mengambil kira wawasan 2035, pencapaiannya sudah pasti akan diraih oleh individu yang berkebolehan, profesional dan mampu menyesuaikan diri dengan cabaran pada masa hadapan.

    Terdahulu, Pemangku Pengarah Institut Pengajian Pertahanan dan Strategik Sultan Haji Hassanal Bolkiah (IPPSSHHB), Haji Abdul Malik bin Haji Kamis dalam kata alu-aluannya mengiktiraf akan peningkatan kualiti peserta kursus EDPSGO ke-18 dan menyatakan komitmen institut berkenaan untuk mempertingkatkan lagi program berkenaan supaya selaras dengan perkembangan semasa.

    Manakala itu, wakil peserta, Leftenan Kolonel (U) Mohammad Khairul bin Pehin Datu Indera Dato Paduka Seri Haji Sulaiman mengongsi pengalaman para peserta di sepanjang program berkenaan.

    Seramai 30 orang peserta telah menyertai dan berjaya menamatkan kursus berkenaan yang terdiri daripada pegawai-pegawai kanan dari JPM, Kementerian Pertahanan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pembangunan dan Pasukan

    Polis Diraja Brunei serta enam orang peserta luar negara dari Republik Indonesia, Malaysia, Republik Filipina, Republik Singapura, Republik Sosialis Vietnam dan Kesultanan Oman.

    Program anjuran Kementerian Pertahanan selama tiga bulan itu, dikendalikan oleh LKYSPP National University of Singapore, yang dihasratkan untuk menyediakan ilmu dan latihan kepada pegawai-pegawai kanan mengenai perspektif dan rangka kerja konsep dalam bidang dasar awam dan pengurusan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda