Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OGOS – B.S. Syscom Technologies kelmarin menganjurkan simposium teknologi bertemakan Intelligent Horizons: Future Tech and Beyond, menghimpunkan stakeholders daripada agensi kerajaan, entiti korporat dan institusi kewangan.
Acara berkenaan menampilkan inovasi terkini syarikat berkenaan bagi menyokong transformasi digital Negara Brunei Darussalam selaras dengan Wawasan Brunei 2035.
Dalam ucaptama, Pengarah Urusan B.S. Syscom Technologies, Sylvester Yong menekankan kepentingan membangunkan platform yang selamat dan boleh disesuaikan bagi menyokong aspirasi digital negara.
“Apabila kita menerima pakai kecerdasan buatan dan automasi, kita juga harus mengakui bahawa perisian sahaja tidak mencukupi,” ujarnya.
“Kita memerlukan platform yang selamat, boleh berubah dan mampan – yang dapat menyesuaikan diri dengan tuntutan perniagaan, kerajaan dan masyarakat yang sentiasa berubah.”


Sesi pembentangan turut disampaikan oleh Ketua Pegawai Teknologi IBM Malaysia, Eddy Liew bersama pakar IT, Hasnal Fahmy, yang membincangkan peranan agentic intelligence dalam meningkatkan kecekapan aliran kerja. Mereka turut menekankan keperluan ketahanan siber dan masa henti operasi terancang sifar untuk memastikan kesinambungan perniagaan serta perlindungan data kritikal.
Sementara itu, wakil Ikon Perkasa Sdn Bhd dari Malaysia, Vun Yin Vui mengongsikan kepentingan ketersediaan dalam mengekalkan kelancaran operasi. Beliau menggariskan langkah utama dalam membina asas kukuh untuk sistem misi kritikal, termasuk pelaksanaan infrastruktur selamat, integrasi penyelesaian storan berprestasi tinggi serta penggunaan alat pemantauan masa nyata.
Simposium diakhiri dengan pembentangan daripada Azhim Daud dari Numa Solutions (Malaysia), yang memperkenalkan platform bersepadu data dan analitik. Alat tersebut menyediakan organisasi dengan gambaran sistem masa nyata secara menyeluruh, sekali gus mempercepat proses membuat keputusan yang lebih tepat.
Acara berkenaan menandakan satu lagi langkah penting ke arah masa depan digital negara, dengan B.S. Syscom Technologies mengukuhkan peranannya dalam memperkasa inovasi dan ketahanan merentasi pelbagai sektor.

