Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bangunkan tanah terbiar untuk pertanian – Kiandee

    PUTRAJAYA, 16 JUN – Membangunkan tanah-tanah terbiar milik individu, agensi atau kerajaan negeri untuk pertanian adalah antara pendekatan yang akan diambil kerajaan untuk memastikan sekuriti makanan dalam negara terjamin.

    Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata penggunaan tanah terbiar untuk pertanian adalah antara perkara yang akan dibincangkan dalam mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri bersama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada hujung bulan ini.

    “Kita mencari langkah dan tindakan untuk menjamin bekalan makanan, jadi ruang untuk membangunkan tanah terbiar adalah antara langkah dan tindakan yang difikirkan kerajaan untuk memastikan kelangsungan bekalan makanan,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Program Pecutan Berasaskan Biologi (BBA) di sini hari ini.

    Isnin lepas, Ismail Sabri berkata kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan negeri akan dipertingkatkan dalam usaha menambah keluasan tanah bagi kegunaan pertanian yang bertujuan antaranya menjamin sekuriti makanan dan mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan.

    Dalam usaha mengurangkan kos input dan kos bahan makanan yang sedang dialami negara, Ronald berkata antara langkah yang sedang dipertimbangkan adalah penggunaan sisa isirung sawit sebagai makanan haiwan dan bagaimana kerajaan dapat menampung sedikit kos penggunaan sisa isirung sawit itu dalam industri ternakan haiwan.

    “Begitu juga kita melihat (jika) tarif elektrik yang dikenakan dalam sektor agromakanan boleh dikurangkan supaya ia dapat mengurangkan kos pengeluaran,” katanya. – Bernama

    Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (dua,kiri) melawat ruang pameran pada Majlis Pelancaran Program Pecutan Berasaskan Biologi (BBA) kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda