Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Banjir: 38 disahkan maut di Beijing

    BEIJING, 29 JULAI – Hujan lebat telah mencetuskan banjir dan tanah runtuh yang menghanyutkan kenderaan, memaksa pemindahan penduduk dan memutuskan bekalan elektrik di sekitar ibu negara China, membunuh sekurang-kurangnya 38 orang setakat hari ini, ketika usaha menyelamat dan bantuan masih diteruskan.

    Risiko banjir di beberapa kawasan di Beijing, wilayah Hebei dan bandar berdekatan Tianjin kekal tinggi sehingga malam ini.

    Media kerajaan menyiarkan rakaman air berlumpur yang mengalir masuk ke dalam rumah di kawasan luar bandar, serta pasukan penyelamat yang membawa mangsa cedera dengan pengusung dan mencari mangsa di jalan-jalan yang rosak.

    Perdana Menteri China, Li Qiang berkata hujan lebat dan banjir di daerah Miyun, Beijing yang paling teruk terjejas telah menyebabkan ‘kematian yang serius’ dan menggesa usaha menyelamat dipergiatkan, menurut agensi berita Xinhua.

    Ribut itu telah memutuskan bekalan elektrik di lebih 130 buah kampung di Beijing, merosakkan talian komunikasi dan lebih 30 kawasan jalan raya. Secara purata, lebih 16 sentimeter hujan turun di Beijing sehingga tengah malam, dengan dua pekan di Miyun mencatatkan sebanyak 54 sentimeter hujan, menurut kenyataan pihak berkuasa bandar.

    Seorang wanita berjalan melewati kereta rosak di kawasan banjir di daerah Miyun, utara Beijing, kelmarin. – AFP

    Banjir besar turut menghanyutkan kenderaan dan menumbangkan tiang elektrik di Miyun, sebuah daerah pinggir yang bersempadan dengan Luanping di Hebei. Lebih 80,000 penduduk telah dipindahkan di seluruh Beijing, termasuk kira-kira 17,000 orang di Miyun, menurut kenyataan pihak berkuasa bandar raya itu.

    Kerajaan bandar berkata 28 orang maut di Miyun dan dua orang lain di daerah Yanqing kelmarin.

    Empat lagi mangsa ditemui maut hari ini di wilayah berdekatan Hebei, menurut penyiar rasmi CCTV, selepas lapan orang dilaporkan hilang akibat tanah runtuh di kawasan luar bandar di daerah Luanping. Empat daripada mangsa yang maut itu telah ditemui kelmarin.

    Pasukan penyelamat kecemasan berkata beberapa kejadian tanah runtuh berlaku lagi di kawasan yang sama hari ini, namun tiada kematian tambahan dilaporkan.

    Pokok tumbang dilihat bertimbun di pekan Taishitun, kira-kira 100 kilometer timur laut pusat bandar Beijing. Jalan-jalan dipenuhi air dan lumpur kelihatan melekat tinggi di dinding bangunan. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda