AHMEDABAD, India, 16 Julai – Banjir hujan monsun lebat telah membunuh empat orang di barat India, kata pegawai hari ini, dengan perasaan bimbang untuk sekurang-kurangnya enam orang lain yang masih hilang ekoran hujan lebat.
Perkhidmatan kereta api dan puluhan lebuh raya di negeri Gujarat telah terjejas akibat air banjir, bekalan elektrik di lebih 120 kampung terputus di kawasan yang terjejas teruk.
“Empat orang terbunuh selepas dihanyutkan dalam air hujan sejak pagi semalam. Enam orang lain hilang,” beritahu Pankaj Kumar, pegawai kanan kerajaan, kepada AFP, menambah Pasukan Respons Bencana Nasional sedang mencari mangsa yang selamat.
Pasukan itu, bersama tentera India, telah menyelamat lebih daripada 2,000 orang dari rantau yang terjejas paling teruk dan memindah mereka ke kawasan yang lebih tinggi.
Jabatan Kaji Cuaca India meramalkan hujan lebat akan melanda negeri tersebut untuk dua hari lagi, terutamanya di kawasan pantai, beritahu Manorama Mohanty daripada jabatan, kepada AFP.
Hujan monsun telah mengakibatkan banjir serius di negeri lain termasuk Bihar di timur dan Assam dan Arunachal Pradesh di timur laut.
Kedua-dua negeri di timur laut itu mengalami banjir dan runtuhan tanah paling teruk dalam beberapa tahun di tengah hujan yang turun tanpa henti-henti selama seminggu.
Hampir setengah juta penduduk di Assam telah terjejas, dan lebih daripada puluhan terbunuh dalam hujan lebat.
Menteri dalam negeri junior India Kiren Rijiju menulis di Twitter dari Arunachal Pradesh semalam bahawa pembiayaan ubat-ubatan dan usaha bantuan telah dilancarkan untuk membantu mereka yang terbabit dalam bencana berkenaan. – AFP